Motosikal

RIBUAN PENUNGGANG MOTOSIKAL REMPUH SJR DI BEKASI-KERAWANG UNTUK BALIK RAYA

Beribu-ribu penunggang motosikal bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya di sempadan Bekasi-Kerawang, Jawa Barat untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Memetik laporan portal Warta Kota, jumlah motosikal yang banyak itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer.

Penunggang-penunggang motosikal itu juga tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa supaya mereka berpatah balik, malah ada yang bertindak melawan arus.

Susulan keengganan mereka untuk berpatah balik serta cubaan berterusan untuk melalui sekatan jalan raya, pihak keselamatan akhirnya terpaksa membuka penghadang jalan buat seketika bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Ini membolehkan penunggang-penunggang motosikal tersebut untuk melintasi kawasan sempadan dan menuju ke destinasi masing-masing.

Ketua Pesuruhjaya Polis Bekasi, Hendra Gunawan berkata, pihaknya telah berusaha untuk menghalang orang ramai daripada melintasi kawasan sempadan.

“Bagaimanapun, untuk mengelakkan kesesakan yang teruk, kami terpaksa membuka penghadang sekatan. Kami akan menambah bilangan anggota dan berharap agar kejadian ini tidak berulang,” ujarnya.

Pemerintah Indonesia melarang aktiviti pulang ke kampung (mudik lebaran) sempena Aidilfitri selama 12 hari bermula 6 hingga 17 Mei ini bagi mencegah penularan wabak Covid-19. – AGENSI 

Google ads
Back to top button