PEMANDU TEKSI DI SELANGOR BOLEH TAMBAH PENDAPATAN DENGAN PROGRAM SELDEC
Dalam usaha menambah sumber pendapatan, kerajaan negeri Selangor menggalakkan pemandu teksi menjalankan perkhidmatan e-hailing atau penghantaran makanan di bawah Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) dengan bantuan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, inisiatif tersebut susulan pelaksanaan e-bazar dan e-kitchen oleh kerajaan negeri pada tahun lalu yang bertujuan membantu peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Hijrah Selangor akan melatih golongan tersebut menggunakan gajet yang diberikan bagi membolehkan mereka mengambil pesanan di kawasan sekitar radius dua kilometer.
“Saya fikir selain memberi bantuan kepada pemandu teksi ini, elok jika saya serap mereka untuk terlibat dalam perniagaan dalam talian, terutama dalam perkhidmatan e-hailing iaitu penghantaran makanan.
“Saya yakin dengan program keusahawanan di bawah kerajaan negeri kerana kita sudah mencipta satu ekosistem. Jadi kita berani untuk memberi mereka maklumat berkenaan bantuan yang ditawarkan,” katanya.
Rodziah turut menggesa golongan tersebut supaya tidak membataskan keupayaan diri untuk mencari rezeki tambahan akibat beban yang ditanggung.
Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya tidak mahu membataskan bantuan kerajaan negeri kepada pemberian wang secara sekali bayar sahaja, tetapi komited ingin mengubah hidup pemandu teksi.
“Mereka mempunyai kereta dan mahir dalam mengenal pasti kawasan. Jadi lebih baik mereka menambah pekerjaan baharu iaitu membuat servis penghantaran makanan selain daripada mengambil dan menghantar penumpang.
“Kita akan syorkan pemandu-pemandu teksi untuk menyertai program di bawah Hijrah Selangor kerana data sudah ada. Kita akan selesaikan semua permohonan sebelum menjelang Ramadan,” katanya. – Sinar Harian