Buletin

PEMBEKAL PROTON JALIN KERJASAMA DENGAN RAKAN KONGSI LUAR NEGARA

Selepas perjanjian kerjasama di antara pembekal PROTON dan rakan kongsi luar negara ditandatangani pada 10 Oktober tahun lalu, kini giliran kumpulan kedua bertukar-tukar perjanjian dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) semalam ini.

Majlis disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming; Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong; Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON sertabarisan pengurusan kanan PROTON dan DRB-HICOM.

Jana pelaburan kepada Malaysia 

Bagi kumpulan pertama pembekal, ia melibatkan perjanjian teknikal dan usaha sama pelaburan asing 100% dengan pembekal luar negara yang melabur secara langsung ke dalam ekonomi Malaysia. 

Kerjasama baharu itu dijangka membawa pelaburan awal sebanyak RM47 juta dan belipat kali ganda selari dengan peningkatan  jumlah pengeluaran PROTON.

Selain pelaburan ke atas kemudahan dan teknologi, kerjasama itu dapat menghasilkan kira-kira 450 peluang pekerjaan dalam industri automotif. Ia terdiri daripada pemasangan sehinggalah kepada reka bentuk kejuruteraan yang memerlukan pekerja mahir. 

Ini akan membantu mewujudkan asas pembekal yang mampu memenuhi standard teknologi

dan kualiti yang diperlukan untuk kereta masa depan Proton dan yang akan dibangunkan bersama Geely.

Para pembekal akan membekalkan alat-alat ganti ke kilang pembuatan PROTON di Tanjung Malim yang kini dalam proses pengembangan dengan kos sebanyak RM1.2 billion. Kilang baharu dijangka siap pada suku keempat 2019 dengan kereta Proton versi complete-knocked-down (CKD) pertama bakal dikeluarkan oleh kilang tersebut.

Program pembangunan pembekal PROTON sedang giat dijalankan. PROTON berusaha melakukan aktiviti pemadanan dengan mencari rakan kongsi terbaik yang akan memberi manfaat kepada semua pembekal, ekonomi tempatan serta PROTON. 

“Kami yakin dengan membina kerjasama bersama rakan kongsi di luar negara, pembekal tempatan akan berpeluang mencapai standard antarabangsa dari segi kemajuan teknologi dan kualiti dalam jangka masa yang singkat,” kata Dr Li Chunrong. 

“Sekiranya pembekal kami mencapai sasaran mereka, ia akan membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa. Seterusnya mendorong kepada pembangunan komuniti pembekal yang akan membolehkan industri automotif Malaysia bersaing ke peringkat global.

“Penyertaan dari pembekal juga penting untuk matlamat jangka panjang PROTON, yang akhirnya akan membawa industri ke satu taraf yang mempunyai kebolehan bertaraf dunia”, tambah beliau.

Google ads
Back to top button