100 JENAMA KERETA DARI CHINA SEDIA TAKLUK PASARAN RUSIA
Sejak Rusia menyerang Ukraine tahun lepas, 46 daripada 60 jenama kereta Barat telah keluar dari pasaran tersebut yang kemudian memberi peluang kepada kereta China memasuki negara berkenaan.
Pada tahun 2022 sahaja, sebanyak 487 pengedar kenderaan China baharu dibuka di Rusia dan menyumbang hampir satu pertiga daripada jumlah pengedar kereta di Rusia.
Pada tahun yang sama, 122,000 kereta China berjaya dijual di Rusia yang menyaksikan peningkatan sebanyak 13 peratus dari tahun ke tahun.
Menurut laporan, dianggarkan sekitar 100 jenama kereta dari China bakal memasuki pasaran Rusia menjelang akhir 2023 setelah melihat pertumbuhan yang begitu memberangsangkan di negara itu.
Untuk rekod, bahagian pasaran kereta China di Rusia meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun lepas.
Menurut tinjauan yang dijalankan oleh Autostat, sebuah agensi analisis pasaran kereta Rusia, perbelanjaan pengguna Rusia untuk membeli kereta jenama China meningkat tiga kali ganda berbanding tempoh sama pada 2022 (17,200 kereta China).
Sebagai perbandingan, pada Januari 2023, penguasaan pasaran kereta Eropah, Rusia, Korea, Jepun dan Amerika ialah 16 peratus, 15 peratus, 11 peratus, 10 peratus dan 2.5 peratus.
Jenama kereta China mendapat momentum di Rusia
Sejak memasuki pasaran Rusia seawal tahun 2004, jenama China hanya menjual 150 unit kereta sebelum volum jualan tahunan meningkat lebih 100,000 unit pada 2013.
Ini disebabkan oleh persaingan sengit daripada jenama tempatan Rusia yang sangat murah serta memberi tumpuan kepada produk mampu milik. Faktor kedua ialah jenama Eropah, Amerika, Jepun dan Korea Selatan yang hanya fokus pada produk pertengahan hingga mewah.
Setakat ini, Chery mempunyai tiga jenama di pasaran Rusia iaitu Chery, Exeed, serta Omoda. Pada 2022, ketiga-tiga jenama ini masing-masing mencatat jumlah jualan 38,000, 13,000 dan 1,521 unit kenderaan.
Great Wall Motors turut melabur begitu banyak di Rusia sejak beberapa tahun lalu, termasuklah kilang Tula yang merupakan kilang pembuatan China pertama di luar negara. Kemudahan itu dibina melibatkan pelaburan sebanyak AS$500 juta (RM2.2 bilion) dan siap pada 2019.
Great Wall Motors mencatat hasil jualan 35,000 kenderaan di Rusia tahun lepas, menduduki tempat kedua dalam kalangan jenama China. Manakala Geely menduduki tempat ketiga dengan jualan 24,000 unit.
- BACA: CHINA JADI PENGIMPORT TERBESAR MINYAK MENTAH RUSIA. BELI 1.98 JUTA TONG SEHARI PADA APRIL 2022
- BACA: CHINA SUKA MENIRU? JEPUN DAN KOREA PUN BUAT JUGA DAHULU
- BACA: JENAMA AUTOMOTIF ERA SOVIET, MOSKVICH DIHIDUPKAN SEMULA, LANCAR MODEL BAHARU MOSKVICH 3, REBADGE JAC JS4
- BACA: KONFLIK RUSIA-UKRAINE:- VOLVO CARS, TRUCKS GANTUNG JUALAN DI RUSIA