SAFARI RALLY KENYA 2023. APA YANG MENARIK TENTANGNYA
Safari Rally Kenya akan berlangsung hujung minggu ini dan ianya akan sentiasa menjadi salah satu lokasi perlumbaan paling epik sepanjang kempen FIA World Rally Championship (WRC) pernah berlangsung setakat ini
Jalan tanah yang mencabar serta berdebu yang tebal, serta ditambah dengan pemandangan serupa gambar poskad yang menakjubkan. Dan paling menarik adalah hidupan liar Afrika yang eksotik bebas berlari ke sini sana. Safari Rally Kenya menawarkan pengembaraan yang tiada bandingnya, dan tahun ini pastinya tidak berbeza.
Para pemandu handalan di Safari Rally Kenya ini sudah pastinya akan menjangkakan laluan yang kering dan berdebu serta batuan sepanjang trek laluan. Namun khabarnya ribut petir dijangka akan mulai turun sepanjang minggu ini. Sekiranya ramalan tersebut menjadi nyata, laluan yang biasanya kering dan berdebu akan berubah menjadi lumpur berbahaya dan boleh mengancam prestasi jentera rali masing – masing.
Untuk Safari Rally Kenya yang berlangsung buat kali ketiga dalam era moden ini, dijangkakan para pemandu akan berlumba sejauh 356 km merentasi 19 SS yang pastinya mencabar mental dan tenaga para pemandu. Mereka akan berlumba di kawasan Great Rift Valley yang menjanjikan pemandangan yang indah. Secara purata, sebahagian besar laluan untuk edisi ke 70 ini masih sama seperti tahun lepas kecuali terdapat beberapa perubahan kecil sahaja.
Tumpuan pastinya tertumpu buat pemandu lagenda Sebastian Ogier setelah memenangi perlumbaan disini sementelah Safari Rally Kenya kembali semula ke kalendar WRC pada 2021. Cuma Nasib malang menimpa beliau sewaktu perlumbaan tahun lepas apabila menghadapai masalah dengan jentera Toyota GR Yaris Rally1 walaupun sedang mendahului saingan ketika itu. Sudah pasti Sebastian Ogier mahu kembali menebusnya pada tahun ini.
Manakala seorang lagi pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing, Takamoto Katsuka juga pastinya mahu meneruskan aksi cemerlang di bumi Kenya ini, sama seperti perlumbaan yang sama tahun lepas.
Sementara itu, penyandang juara WRC Kalle Rovanpera sempat mengadakan suatu aksi perlumbaan pecut pertunjukkan bersama seorang pelari pecut terpantas di Afrika, Ferdinand Omanyala.
Dalam aksi tersebut, Kalle Rovanpera memandu kereta jalanan Toyota GR Yaris bersebelahan dengan Ferdinand Omanyala yang mempunyai catatan masa terpantas 9.77 saat. Kesudahannya dimenangi oleh Kalle Rovanpera namun diekori rapat oleh Ferdinand Omanyala. Sudah pasti ianya adalah perlumbaan sebagai mempromosikan Safari Rally Kenya yang berlangsung sepanjang minggu ini. (22-25 Jun).
BACA : WRC 2022 – KALLE ROVANPERA MUNCUL JUARA SAFARI RALLY KENYA YANG PENUH DENGAN DRAMA
BACA : WRC 2021 – TUAH SEBASTIAN OGIER UNTUK MENANG DI SAFARI RALLY KENYA