
PENCURI PASARAYA WALMART AKAN DIKENAKAN HUKUMAN CUCI KERETA – MENARIK JUGA HUKUMAN NI
Kes kecurian dalam pasaraya semakin meningkat tapi seorang hakim di Michigan mempunyai penyelesaian yang agak pelik. Beliau akan menjatuhkan hukuman mencuci kenderaan tanpa gaji di kawasan pakir pasaraya Walmart. Ini menarik ni, biasa cuci kereta kat pasaraya mana ada yang percuma.

Menurut Associated Press, Hakim Daerah Genesee County, Jeffrey Clothier akan mengenakan hukuman cuci kereta jika kesalahan mencuri tersebut dilakukan di Walmart Grand Blanc Township. Ia berdekatan dengan Flint dan dikatakan salah sebuah bandar paling merbahaya di AS.
Bercakap kepada pemberita, hakim tersebut menyatakan masalah kecurian memang satu masalah di bandar beliau sehinggakan Walmart terpaksa menyediakan pakir khas untuk kereta polis kerana mereka kerap menerima panggilan jenayah curi.

Walmart turut berminat dengan cadangan hukuman tersebut dan bakal menyediakan bekalan air dan keperluan untuk khidmat cuci kereta tersebut. Ia dijangka akan bermula musim bunga ini dan dijangkakan hampir 100 orang akan dikenakan hukuman tersebut pada hujung minggu.
Ada yang mengatakan ia sesuatu hukuman yang memalukan lebih-lebih lagi jika pesalah terserempak dengan jiran atau sahabat handai sedang mencuci kenderaan di Walmart. Namun ia disangkal oleh hakim tersebut dan menegaskan sudah tentu ada akibat jika melakukan jenayah. Malah beliau turut akan turun padang untuk sama-sama mencuci kenderaan. Ini namanya seorang lelaki yang berjiwa besar dan bukannya berlagak tunjuk kuasa tak kena tempat.
Walaupun keberkesanan hukuman pelik ini belum terbukti, Pendakwaraya Genesee County, David Leyton berkata, ia sudah satu kejayaan jika ia mampu menghalang seorang individu dari melakukan perkara yang sama. Bijak jawapan tu.


