Buletin

PENDAFTARAN MODEL PERODUA NAIK 42% PADA OGOS. BEZZA PALING LARIS DENGAN 6,808 UNIT

Pendaftaraan kenderaan Perodua meningkat sebanyak 42 peratus pada Ogos kepada 26,039 unit berbanding 18,346 unit pada Julai lalu, disebabkan bekalan komponen automotif yang semakin pulih.

“Perodua akan berusaha untuk meningkatkan lagi angka ini demi mengurangkan masa menunggu para pelanggan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Perodua juga mencapai tahap pengeluaran terbaik tahun ini dengan 28,036 unit. Jumlah itu membolehkan Perodua untuk meningkatkan pendaftaran model-modelnya. Perodua Bezza menjadi model paling popular dengan 6,808 unit didaftarkan, diikuti Myvi 6,252 unit dan Axia sebanyak 4,857 unit.

“Perodua Alza baharu kami pula menerima 51,000 tempahan setakat ini. Kami pula telah mendaftar 7,682 unit pada bJulai dan Ogos lalu,” kata Zainal. Perodua melancarkan model serba baharu Alza pada 20 Julai 2022.

Peningkatan dalam pengeluaran dan pendaftaran Perodua Ogos disebabkan gangguan bekalan cip semikonduktor dan kekurangan pekerja di operasi pembekal kami. Namun, isu-isu tersebut telah diatasi pada masa ini.

Perodua juga sedang mengkaji kesan peningkatan harga bahan mentah pada masa sekarang. Perodua dan syarikat-syarikat pembekal komponennya juga sedang bekerjasama untuk mengatasi isu kenaikan kos yang sedang melanda.

Jualan Perodua dari Januari hingga Ogos tahun ini melonjak sebanyak 63.7 peratus kepada 171,728 unit berbanding 104,933 unit pada tempoh sama tahun lalu.

“Dari Januari hingga Ogos tahun ini, Perodua Myvi masih kekal model paling laris dengan 48,658 unit telah didaftarkan. Diikuti oleh Bezza sebanyak 39,642 unit dan Axia sebanyak 37,013 unit.

Google ads
Back to top button