Buletin

PENGEDAR PROTON TERUJA MELAWAT PENGEDAR LYNK&CO – MAHU KONSEP SAMA DIAPLIKASIKAN DI MALAYSIA

Semua pengedar PROTON nyata tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila berpeluang mengunjungi sebuah pengedar Lynk&Co ketika menyertai lawatan ke China baru-baru ini.

Terletak di Shanghai dan di antara barisan pengedar kenderaan lain, cawangan itu dilihat begitu menyerlah.

Sedia maklum bahawa Lynk&Co merupakan satu jenama di bawah naungan Geely yang mensasarkan golongan muda profesional.

“Ini merupakan konsep serba baharu bagi sebuah cawangan pengedar. Ia tidak kelihatan seperti sebuah cawangan pengedar kereta, sebaliknya seperti sebuah kedai bercitarasa gaya hidup.

“Di luar bangunan kelihatan begitu menarik. Apabila melangkah masuk, lebih banyak lagi kejutan yang menanti,” kata Azizulmu’min Mohd Hussain Malim dari Rohamas Corporation Sdn Bhd.

Jelas Azizulmu’min, perasaannya sama seperti anda melangkah masuk ke dalam sebuah butik di pusat membeli-belah. Ia bukan menjual kereta semata-mata, tetapi ia memaparkan gaya hidup yang bakal dibawa sebaik sahaja anda memiliki sebuah Lynk&Co.

“Sekiranya konsep ini dibawa ke Malaysia, saya yakin akan dapat menarik minat orang ramai,” katanya lagi.

Sebaik sahaja masuk, ruang minum kopi dengan pelbagai lollipop berwarna-warni yang diikat riben dan perkataan Lynk&Co menyambut kehadiran anda.

Bertentangan dengannya ialah kedai yang menjual barangan eksklusif seperti baju, topi dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, terdapat jua tempat kanak-kanak bermain dan menunggu yang selesa di mana pelanggan boleh berehat dan menghabiskan ketika menunggu kereta mereka diservis.

Louis Ng Boon Cheng daripada NHL Automobil Sdn Bhd, berkongsi pandangan yang sama.

“Ini adalah strategi perniagaan yang tepat dan bukan lagi mengenai menjual kereta semata-mata. Ini semua mengenai konsep jualan, reka bentuk dan mencipta trend apabila seseorang memiliki kereta Lynk&Co.

“Saya tidak sabar untuk melihat konsep ini diaplikasikan di Malaysia,” kata Louis.

Bagi Razali Ahmad daripada Erakars Sdn Bhd pula, konsep tersebut membawa idea baharu baginya untuk menjual kereta.

“Bilik pameran tersebut membawa perasaan yang berbeza berbanding jenama lain di pasaran. Suasana yang santai, ceria dan sudut digital pasti memberi persepsi berbeza kepada pelanggan, terutamanya ketika mereka melangkah masuk ke bilik pameran.

“Dengan ruang menunggu yang lapang dan kafe yang selesa, ini membuatkan pelanggan berasa teruja dan dihargai apabila mereka datang ke sini,” kata Razali.

Google ads
Back to top button