
HERO KEI-CAR SEBENAR – MAZDA R360 COUPE
Mazda sebenarnya memang cukup berbeza daripada pengeluar kereta mainstream lain. Kenapa tidak? Dari dulu lagi Mazda cukup mementingkan pengalaman memandu dan elemen sporty pada semua kereta mereka. Bukan hanya kini tetapi DNA sports memang sudah wujud dalam model-model Mazda seawal selepas perang dunia pertama. Mari kita tengok moyang kei-car yang sejati, Mazda R360 Coupe.
Mazda R350 Coupe adalah sebuah model mikro yang lahir hasil dari pembangunan semula Jepun seleps perang dunia. Ia juga dihasilkan menepati peraturan kei car yang diwujudkan seawal tahun 60-an di Jepun. Pada waktu itu keadaan jalan di Jepun adalah sangat teruk dan bukannya sehebat zaman ini. Pengangkutan memang sangat sukar dan ramai yang bergerak dengan bas selain berjalan kaki.
Kereta adalah pilihan yang mahal membuatkan kerajaan Jepun menawarkan insentif khas untuk membangunkan kereta untuk kegunaan awam. Ia juga mestilah murah agar mampu dimiliki oleh sebahagian besar rakyat.
Sama seperti semua pengeluar lain, Mazda turut memulakan usaha untuk menghasilkan kei car. Mereka menugaskan sepasukan pereka terbaik mereka untuk tugasan ini dan antara individu yang terlibat ialah Kenichi Yamamoto, bapa kepada enjin rotary Mazda. Matlamat utama mereka ialah untuk menghasilkan kenderaan yang ringkas dan ringan. Dua elemen yang dikekalkan sehingga ke hari ini untuk model-model Mazda.
Menariknya apa yang direka oleh Kiro Kosugi selaku pereka bukannya sebuah van ataupun hatchback seperti pengeluar lain. Sebaliknya beliau mereka sebuah coupe yang cukup bergaya siap dengan sirip ala tail fin di belakang dan bumbung berbentuk gelembung. Ia satu keputusan yang berani kerana pembeli ketika itu lebih mementingkan praktikaliti berbanding gaya. Dengan hanya dua pintu dan tempat duduk belakang yang kecil, ia bukannya pilihan yang ideal untuk sebuah keluarga.
Nampak memang tidak cukup sporty tetapi harus dingat yang kereta ini sudahpun menggunakan suspensi bebas, material yang ringan dan rekaan badan coupe yang bukannya calang-calang untuk sebuah kei car.
Ingat kei car bukannya tentang kuasa yang dihasilkan tetapi tentang keseronokkan yang ditawarkan kepada pemandu. Dengan saiz enjin yang kecil dan peraturan tertentu, kebanyakan kei car sentiasa dipandu sehingga ke hadnya.
BACA: SELAMAT JALAN KENICHI YAMAMOTO, BAPA ENJIN ROTARY MAZDA (1922-2017)
Material yang digunakan oleh Mazda dalam penghasilan kereta mereka bukan hanya cukup ringan tetapi ia adalah setara dengan material yang digunakan oleh kereta-kereta Le Mans pada masa itu. Plastik polimer digunakan secara menyeluruh pada bahagian panel manakala enjinnya pula menyaksikan kegunaan aluminium yang banyak.
Bahagian cermin belakang pula adalah daripada plexiglass. Hasilnya lahirlah sebuah kereta seberat lebih kurang 400 kilogram. Inilah rahsia kehebatan kei car sebenarnya. Ini kerana mereka terikat dengan peraturan kuasa enjin dan pengurangan berat adalah satu cara untuk meningkatkan prestasi sebuah kereta.
R360 juga merupakan kei car pertama dikeluarkan dengan gear automatik. Bukannya automatik sepenuhnya tetapi boleh dikatakan semi auto kerana ia mempunyai butang klac elektrik yang diletakkan di bahagian atas tombol gear. Tapi takkanlah sehebat gear automatik masa kini kerana ia cuma mempunyai dua kelajuan.
Jangan main-main kerana R360 ini juga mempunyai enjin di bahagian belakang ala Porsche. Ia merupakam enjin v-twin sejukan cecair yang sebahagian besar komponennya adalah dari aluminium. Walaupun cuma menghasilkan 16 hp kuasa ia tetap unik kerana merupakan sebuah enjin 4-lejang. Mana tidaknya, pada masa itu kebanyakan enjin kei car rata-ratanya ialah enjin 2-lejang.
Sebaik dilancarkan ke pasaran, ia laris terjual seperti goreng pisang keju meleleh. Malah pada tahun pertama di pasaran ia sudah pun mengatasi Subaru 360 sehingga berjaya menguasai 64.8 peratus pasaran kei car pada masa itu.
Bukan hanya popular di kalangan peminat kereta ketika itu, R360 turut menyertai perlumbaan kelas kei car dalam Japan Grand Prix 1963 bersama-sama dengan Suzuki Fronte dan Subaru 360. Walaupun tidak memenangi apa-apa hadiah tetapi inilah Mazda pertama yang menyertai perlumbaan sebenar dan cukup bersejarah. Sekarang semua orang sudah tahu kehebatan Mazda.
Kredit japanesenostalgiccar.com