
PENGEDAR SAAB TAIWAN MASIH KOMITED BERKHIDMAT UNTUK PELANGGAN SELEPAS SEDEKAD JENAMA BERKUBUR – RESPEK
Bertanggungjawab merupakan satu sikap mulia yang wajar disanjung dan dipandang tinggi sayangnya tak ramai yang melakukannya. Lebih memburukkan bila para pemimpin sendiri memberikan contoh yang sebaliknya dan menjadi ikutan generasi muda. Rosak negara boh.

Tapi nun jauh di seberang laut sana di sebuah negara yang bernama Taiwan (bukan negara Islam pun) ada sebuah syarikat automotif yang berjiwa besar yang memberikan gambaran sebenar sikap tanggungjawab kepada pelanggan mereka. Nama syarikat mereka ialah Scandinavia Asia Corporation (SAC) dan mereka merupakan pengedar kereta-kereta keluaran SAAB di Taiwan sehinggalah jenama tersebut diistiharkan bangkrap sedekad lepas.
SAAB bukan nama kecil dalam industri automotif sayangnya ia berkubur selepas dibiarkan begitu sahaja oleh GM. Kalau anda melakukan carian anda akan dapati SAAB sekarang lebih dikaitkan dengan industri pembuatan pesawat, torpedo dan pelbagai komponen ketenteraan lain. Memang itu asal-usul SAAB sebelum mereka menghasilkan kereta dan jatuh bangkrap.
Balik kepada SAC tadi. Walaupun kehilangan SAAB membuatkan ramai peminatnya bersedih tapi SAC masih belum bersedia untuk mengangkat bendera putih dan masih mengekalkan perniagaan ataupun perkhidmatan selepas jualan mereka dalam keadaan yang serba mencabar sehingga ke hari ini.

SAC mula beroperasi pada tahun 1980 dengan mengedarkan model-model SAAB dan kini mereka masih melayan pelanggan mereka seperti biasa walaupun selepas lebih sedekad SAAB berkubur. Memang luar biasa komitmen diorang ni.
Kita bukan tengah bercerita tentang operasi kecil-kecilan tetapi enam buah pusat servis skala penuh di serata Taiwan yang dikhususkan untuk SAAB sahaja dan 12 buah lagi pusat servis bertauliah di segenap pelosok negara tersebut.
Lebih mengkagumkan mereka juga membuka sebuah lagi cawangan baharu dan masih meneruskan jualan model-model SAAB. Model terpakai semestinya. Mana ada stok baru lagi dah. Tapi dia punya tahap komitmen memang lima bintang la. Terbaik.

Salo Yang, presiden SAC menyatakan yang mereka akan terus mencuba sebaik mungkin untuk mengekalkan jenama SAAB di jalan-jalan raya Taiwan. Perkhidmatan yang mereka tawarkan adalah tanggungjawab mereka kerana hampir semua SAAB di Taiwan dijual oleh SAC. Tu dia contoh pemimpin sebenar dan ahli perniagaan yang bertanggungjawab. Ini tidak, sengaja cari alasan tak nak bertanggungjawab mengalahkan playboy tua.
SAC sehingga kini terus beroperasi dan mendapat bekalan alat ganti daripada GM dan pengeluar lain seperti AC Delco dan Orio, yang masih menawarkan pilihan dari pengeluar bebas. Malah SAC dikatakan turut menghasilkan komponen jenama mereka sendiri untuk memastikan kenderaan pelanggan mereka kekal bergerak.
Bayangkan mengekalkan perkhidmatan selepas jualan selepas syarikat asal berkubur tanpa sebarang sokongan dari syarikat induk. Sukar bukan tetapi tidak bagi mereka yang berjiwa besar. Tinggal nak tak nak je. Jangan jadi macam jenama Chevrolet di Malaysia, lepas jual tinggal macam tu je. Nasib baik juga la ada beberapa bengkel yang masih meneruskan perkhidmatan untuk model-model Chevrolet. Tu pun banyak yang dah tersadai tepi-tepi jalan.





