Buletin

PENGELUAR EROPAH PILIH INDONESIA SEBAGAI ALTERNATIF KEPADA PASARAN CHINA – KAYA BAHAN MENTAH BATERI EV

Selepas China, pengeluar dari Eropah melihat potensi pada Indonesia dan sedia melengkapkan perjanjian perdagangan bebas bagi meningkatkan serta merancakkan lagi industri kenderaan elektrik (EV).

Seperti sedia maklum, Indonesia mempunyai kekayaan nikel serta bahan mentah lain. Tetapi Jakarta telah mengenakan larangan mengeksport nikel termasuk bauksit yang digunakan untuk menghasilkan aluminium.

Sudah tentu ia merupakan strategi Indonesia supaya kekayaan bahan mentah mereka tidak dihantar ke China, sebaliknya Indonesia berhasrat mencipta rantaian bekalan EV di tanah airnya sendiri.

Strategi itu nampaknya membuahkan hasil apabila Menteri Pelaburan Indonesia, Bahlil Lahadalia, mendedahkan bahawa pembuat kereta Jerman, Volkswagen mahu membina ekosistem bateri EV di Indonesia.

Pengumuman itu dibuat di pameran perdagangan Hanover, tempat Canselor Jerman, Olaf Scholz bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Pada masa itu, Scholz memberitahu Jokowi bahawa dia berusaha untuk memeterai perjanjian ini (antara EU dan Indonesia).

“Pada masa ini, kami mengimport banyak (mineral penting) dari China,” kata Scholz.

Selain Volkswagen, Ford dan Tesla juga melihat Indonesia sebagai alternatif kepada China.  

Walaupun merupakan negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara dan ekonomi terbesar di rantau ini, hubungan perdagangan EU dengan Indonesia bagaimanapun agak kecil.

Untuk rekod, perdagangan dua hala hanya mencatat nilai AS$27.3 bilion (RM122 bilion) pada 2021, atau kurang daripada separuh berbanding volum perdagangan antara EU dan Vietnam.

Oleh itu, pengeluar dari AS, Ford dan Tesla mula mengorak langkah dengan menjalin kerjasama bersama firma di Indonesia.

Selain nikel, antara bahan mentah diperlukan oleh pengeluar EV ialah MHP, iaitu ‘minyak mentah masa depan’.

Buat masa sekarang, pengeluaran MHP Indonesia dikawal sepenuhnya syarikat milik China, menggunakan proses High Pressure Acid Leach (HPAL) untuk mengekstrak nikel serta kobalt daripada badan bijih laterit.

Menteri pelaburan Indonesia, baru-baru ini berpendapat, Volkswagen, Ford atau Tesla boleh bekerjasama dengan pengeluar mineral bateri dari China iaitu Zhejiang Huayou Cobalt, satu usaha sama yang pertama menghantar MHP ke China tahun lepas.

Google ads
Back to top button