Buletin

CRUTCHLOW, NAKAGAMI ATAU ZARCO. SIAPA AKAN JADI PILIHAN REPSOL HONDA?

Pengunduran mengejut Jorge Lorenzo daripada pasukan Repsol Honda ketika kontraknya masih berbaki setahun meninggalkan satu tempat kosong yang perlu diisi segera.

Marq Marquez memberitahu bukan tanggungjawabnya untuk memilih rakan sepasukan baru.

Namun, juara dunia itu mengakui pasukan Repsol Honda perlu membuat keputusan sama ada hendak memilih pelumba muda atau yang lebih berpengalaman untuk bergandingan dengannya bagi musim 2020.

Marquez yang telah bertukar rakan sepasukan selepas Dani Pedrosa diganti dengan Lorenzo mengambil pendekatan mengunci mulut apabila ditanya siapakah pelumba yang ingin dia jadikan gandingannya di pit Repsol Honda.    

“Pada pendapat saya, kita perlu melihat dari dua strategi berbeza. Ambil pelumba yang lebih berpengalaman atau beri peluang kepada pelumba muda. Inilah yang menjadi tanda tanya buat Honda sekarang,” kata Marquez.

Antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi tempat Lorenzo ialah gandingan pelumba pasukan LCR Honda iaitu Cal Crutchlow dan Takaaki Nakagami. Seorang lagi pelumba yang mendapat perhatian pastinya Johann Zarco yang dikatakan semakin serasi dengan jentera RC23V spesifikasi tahun 2018.

Zarco yang sebelum ini menarik diri daripada pasukan KTM diberi peluang oleh pasukan LCR Honda untuk menggantikan Nakagami yang menjalani pembedahan bahu akibat kecederaan.

Adik Marquez, Alex yang baru sahaja merangkul kejuaraan dunia kelas Moto2 juga ada disebut untuk mengisi tempat Lorenzo. Tetapi dia dilaporkan telah menandatangani kontrak dengan pasukan Marc CDS dan dijangka mahu mempertahankan kejuaraan itu bagi musim 2020.

“Bukan saya yang akan membuat keputusan. Saya juga tidak akan memaksa. Apa pun, keputusan Lorenzo memang mengejutkan semua orang, termasuklah Honda, kakitangan dan pengurus pasukan kami, Alberto Puig,” lata Marquez.

Memandangkan hampir semua pelumba sudahpun menandatangani kontrak baharu untuk musim 2020, Honda mungkin perlu memberi kontrak lebih lumayan jika hendak memancing sesiapa dan tidak memilih Zarco.

Siapa pun pelumba yang akan dipilih, besar kemungkinan kontraknya hanya untuk setahun kerana kontrak semua pelumba MotoGP sekarang bakal berakhir pada tahun 2020.

Google ads
Back to top button