PERODUA ATIVA HIBRID INI DATANG DENGAN 2 TEKNOLOGI PELIK
Baru baru ini penulis berpeluang untuk memandu uji Perodua Ativa e:Smart Hybrid 1.2, dimana enjin 1200cc 3 silinder WA-VEX akan bertindak sebagai pengecas sahaja. Pengecas ini akan mengecas bateri sistem dan bateri ini akan menggerakkan motor elektrik dengan 104 kuasa kuda dan 170Nm tork, sangat cukup untuk menggerakkan Ativa Hybrid seberat 1060kg ini
Tapi sebenarnya penulis bukan ingin mengetengahkan berkenaan dengan sistem hibrid, tapi beberapa teknologi yang ada pada Perodua Ativa Hybrid ini. Untuk rekod sebanyak 300 unit Ativa Hybrid dibawa masuk dan 300 pelanggan bertuah dan terpilih diberi peluang untuk memiliki unit ini secara pajakan dalam tempoh 5 tahun
Terdapat 2 aspek yang menarik perhatian penulis berkenaan dengan Perodua Ativa Hybrid ini iaitu:
1. Panel badan dihasilkan daripada resin – ya bahagian pintu belakang atau tailgate dihasilkan daripada lightweight resin dan dihasilkan dengan menggunakan kaedah thermoplastic. Ia sebenarnya bukanlah aspek yang baru dalam penghasilan kereta yang ringan oleh Daihatsu.
Sebagai contoh bermula daripada tahun 2017 lagi, Daihatsu Mira e:S menggunakan fender depan, tangki petrol, pintu ruang kargo dan penutup tangki petrol yang menggunakan bahan resin. Kaedah sebegini mengurangkan berat kenderaan sehingga 50kg.
Bagi model Perodua, antara model pertama yang menggunakan tangki bahan api resin ialah Perodua Alza. Pada pandangan penulis, mungkin salah satu kajian yang akan dijalankan oleh Perodua ialah menilai penerimaan kenderaan yang akan menggunakan resin bagi menggantikan kepingan besi pada masa akan datang melalui projek Ativa Hybrid.
2. Brek Parkir Elektrik (EPB) – kebiasaan sifir yang kita tahu ialah, jika sesebuah kereta menggunakan brek parkir elektrik maka ia akan menggunakan brek belakang cakera. Brek parkir elektrik membenarkan anda membrek tanpa perlu menggunakan brek tangan, sebaliknya digantikan dengan suis elektrik.
Ciri EPB biasa akan ditemani dengan ciri Auto Hold, dimana pemandu hanya perlu mengaktifkan ciri ini dengan menggunakan butang, gear pada kedudukan D dan menekan brek lebih kuat sedikit ketika berhenti seketika di lampu merah.
Pemandu boleh melepaskan kaki daripada pedal brek dan ciri AutoHold akan membrek secara automatik. Bagi bergerak semula, pemandu hanya perlu menekan pedal minyak dan kereta akan meluncur ke depan apabila AutoHold dinyahaktifkan
Jika brek cakera digunakan, motor elektrik akan menekan pad brek pada cakera brek belakang bagi memastikan kereta tidak bergerak. Secara umum kita akan membayangkan sistem EPB dan AutoHold hanya boleh berfungsi dengan brek cakera belakang sahaja.
Sebagai contoh Perodua Alza AV yang datang dengan ciri ini diberikan brek cakera belakang. Namun bagi Perodua Ativa Hybrid, ciri ini boleh dibuat dengan menggunakan brak drum biasa sahaja. Semakan penulis dalam laman sesawang Continental Engineering mendapati perkara ini boleh dilakukan dengan bantuan sistem aktuator yang dipasang di belakang perumah dram brek
Namun bagi kes Perodua Ativa Hybrid ini, ia sudah pasti tidak dibekalkan oleh Continental sebaliknya dibekalkan oleh Akebono Brake Industries ataupun ADVICS. Tapi ia membuktikan sistem EPB dan AutoHold boleh dibuat dengan menggunakan brek drum sahaja