Buletin

PERODUA BEZZA 2020 AKHIRNYA DILANCARKAN SECARA RASMI!

Setelah kita dapat melihat sejumlah imej Bezza 2020 tular di laman maya sejak minggu lalu, Perodua hari ini telah secara rasminya melancarkan Bezza 2020

Pelancaran sebentar tadi di Sentul Depot, Sentul West disempurnakan oleh Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin,

Perodua Bezza 2020 menambah gaya kontemporari dan teknologi keselamatan canggih kepada pakej kompak dan menarik yang terus menawarkan kecekapan bahan api, kebolehpercayaan, ruang yang luas, praktikaliti, mudah dipandu dan kos pemilikan rendah.

Harga atas jalan (tak termasuk insurans) di Semenanjung Malaysia bermula RM34,580 hingga RM49,980, yang didatangkan dalam varian 1.0G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT.

“Perodua Bezza 2020 merupakan hasil gabungan maklum balas daripada para pelanggan kami yang dihargai. Penambahbaikan yang kami laksanakan adalah berteraskan rekaan bijak, pemanduan bijak dan keselamatan bijak,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua
Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Perodua Bezza 2020 tampil lebih yakin dengan lampu hadapan LED yang terdapat pada semua varian dan bampar hadapan rekabentuk baharu.

Ia juga dilengkapi skirting sisi dwi-tona, yang juga terdapat pada semua varian, bersama dengan bampar belakang rekabentuk baharu dan rim aloi 10-jejari 15-inci (pada varian-varian 1.3 liter).

Dua warna luaran baharu bagi Bezza – Gamet Red (bagi varian-varian 1.3 liter sahaja) dan Granite Grey – menyertai empat warna yang sedia ada, iaitu lvory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Kombinasi meter beriluminasi putih menaikkan lagi gaya sudut dalaman, manakala sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan turut terdapat pada varian 1.3 liter.

Semua varian didatangkan dengan cermin sisi berkuasa boleh laras dan sensor undur; varian AV pula menambah kamera undur dan cermin sisi yang boleh dilipat kawalan elektrik.

Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 2.0 kini memasuki barisan Perodua Bezza menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.

ASA 2.0 yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran yang terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga
80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

Di samping itu, varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.

“Dengan bahagian atas badan yang dibangunkan sepenuhnya oleh Perodua, Bezza merupakan sedan pertama kami dan juga sedan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada 2016. Setakat ini, sebanyak 184,000 unit telah dijual di Malaysia.

“Kami yakin Perodua Bezza 2020 yang lebih berani dan bijak ini akan terus digemari ramai dan sasaran jualan kami adalah sebanyak 4,000 unit sebulan secara purata.

GALERI FOTO PERODUA BEZZA 2020

Google ads
Back to top button