Buletin

TOYOTA BAKAL PERKENAL SUV SEGMEN B. LEBIH MURAH DARIPADA C-HR

Toyota kini dilapor sedang sibuk membangunkan sebuah SUV kecil yang membolehkannya bersaing dengan model-model seperti Honda HR-V, Nissan Juke dan Renault Captur.

Dijangka berada di pasaran Eropah dalam masa 18 bulan, SUV itu akan diposisikan di bawah C-HR. Toyota percaya SUV kompak itu dapat menarik minat pengguna yang tidak mampu membeli C-HR.

Memetik laporan Auto Express, Naib Presiden Eksekutif Toyota Eropah, Matt Harrison mengakui Toyota kini bersedia untuk mengembangkan rangkaian SUV dengan model yang lebih kecil.  

“Secara umumnya, segmen SUV akan terus berkembang. SUV segmen B dilihat semakin popular mungkin kerana ia lebih mampu milik. Jadi kami sedang menilai dan semakin banyak pengeluar menghasilkan jentera sama. Mungkin ada banyak peluang pada masa akan datang. Lagipun platform sedia ada cukup fleksibel,” kata Harrison.    

Lebih menarik lagi, SUV kecil baharu itu sudah mendapat lampu hijau daripada Toyota Jepun. Ia dilapor akan dibina berasaskan kepada Yaris generasi terkini yang melakukan debut pada Oktober lalu.  

Ini bermakna ia menjadi model kedua yang menggunakan platform TNGA-B bersama gabungan topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.

SUV itu hanya beberapa mm panjang dan 40mm lebih tinggi berbanding Yaris.

Toyota juga mungkin memanjangkan sedikit tapak roda Yaris untuk memberikan lebih ruang kaki kepada SUV itu. Sekaligus dapat memberikannya kelebihan berbanding pesaing lain.

Menerusi platform TNGA-B, ini bermakna SUV tersebut akan didatangkan dengan varian hibrid yang digabungkan bersama enjin 1.5 liter petrol. Enjin itu mampu menjana kuasa sehingga 155bhp dan boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya di kawasan bandar.  

Enjin itu kemudian dipadankan bersama kotak gear CVT atau manual, bergantung kepada pasaran.

Untuk ruang dalaman pula, anda boleh mengharapkan SUV itu dilengkapi ciri dan rekaan seperti yang ada pada varian tertinggi Yaris. Antaranya ialah heap-up display (HUD) serta skrin sentuh dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto.

sumber: Auto Express

Google ads
Back to top button