Buletin

PERODUA CATAT JUALAN 127,343 UNIT UNTUK 1H 2022. TERIMA TEMPAHAN 22.1K PADA 30 JUN LALU!

Perodua mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual 127,343 unit kenderaan di Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama tahun 2022. Angka itu merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tempoh yang sama (Januari-Jun 2021) tahun lalu.

Peningkatan itu disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap kenderaan Perodua sepanjang separuh pertama tahun ini berikutan pengumuman pengecualian cukai jualan ditamatkan pada 30 Jun 2022.

Daripada jumlah 127,343 unit yang telah didaftarkan, Perodua Myvi masih lagi menjadi model paling popular dengan 38,039 unit. Ia diikuti oleh Perodua Axia (29,183 unit) dan Perodua Bezza (28,719 unit).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad memberitahu tempahan yang diterima Perodua meningkat terutama selepas kerajaan mengumumkan lanjutan tempoh pendaftaran sehingga 31 Mac 2023.

Justeru, pihaknya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan.

Pada hari terakhir sebelum pengecualian cukai jualan dihentikan, Perodua mencatatkan jumlah tempahan tertinggi iaitu 25,100 unit untuk tempoh satu hari.

Selain daripada inisiatif pengecualian cukai jualan yang tamat pada 30 Jun 2022, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan tempahan adalah jumlah pendaftaran kenderaan yang rendah pada Jun tahun lalu. Keadaan itu disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengurangkan kes jangkitan COVID-19.

Dalam tempoh tersebut, Perodua hanya mendaftarkan sebanyak 1,009 unit kenderaan pada Jun 2021, berbanding 21,164 unit sepanjang Jun 2022.

Peningkatan jumlah pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan oleh bekalan komponen yang kian pulih pada Mei.

Pada masa sama, Zainal turut menyentuh isu seperti masalah kekurangan pekerja mahir dan bekalan komponen yang masih kritikal. Jadi, beliau meminta pelanggan supaya dapat memahami masalah yang dihadapi terutama dari segi kelewatan pengedaran kenderaan.

“Kami memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama dan akan melakukan sedaya upaya untuk meningkatkan lagi pengeluaran untuk manfaat pelanggan.

“Kami berharap masalah kekurangan tenaga mahir dapat diselesaikan dengan segera, memandangkan impaknya terhadap industri dan negara adalah signifikan.

Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran, Perodua masih mampu mengekalkan sasaran untuk mencapai angka produksi sebanyak 247,800 unit untuk tahun 2022.

Google ads
Back to top button