Buletin

TEMPAHAN PERODUA ALZA 2022 KINI DIBUKA. 3 VARIAN, PSDA, ASA STANDARD, BERMULA RM62K!

Perodua secara rasmi membuka tempahan untuk Perodua Alza baharu yang menggantikan model terdahulu dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil.

Dengan harga tentatif bermula RM62,000 hungga RM75,000 (harga di Semenanjung Malaysi, tanpa insuran dan tidak termasuk cukai jualan), Alza 2022 menawarkan ruang yang lebih luas untuk penumpang.

Pada masa sama meningkatkan kestabilan pemanduan kerana kenderaan pelbagai guna (MPV) itu direka khusus untuk pemandu dan jalan raya Malaysia.

Tersedia dalam tiga varian, X, H dan AV, Alza didatangkan dalam lima  warna iaitu putih, perak, merah, hitam dan coklat yang merupakan warna baharu. 

“Kami mengambil masa untuk mereka bentuk model baharu ini kerana kami benar- benar ingin memahami kehendak para pelanggan. Perodua Alza Baharu disasarkan untuk memenuhi permintaan itu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik. Justeru, kami telah menambah baik jarak kelegaan tanah Perodua Alza kepada 160mm. Pada penilaian kami, ini merupakan ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV,” katanya.

Bergantung kepada varian, bahagian kabin Alza akan dipasang dengan kemasan fabrik atau separa kulit dua tona, selain kawalan pendingin hawa digital untuk pemandu dan manual di belakang. Pemandu dihidangkan dengan kluster meter LCD (varian X) dan TFT bersaiz tujuh inci bagi varian H dan AV. 

Sistem audio standard akan diberikan kepada pelanggan varian X. Sementara mereka yang membeli varian H dan AV pula akan menerima  skrin infohibur bersaiz sembilan inci.  

Alza juga mempunyai ruang yang lebih besar berbanding model lama, terutama sekali di baris tempat duduk ketiga yang dilengkapi dengan corong pendingin hawa. Untuk ruang penyimpanan, Alza menawarkan kapasiti bagasi 137 liter dan 498 liter jika tempat duduk baris ketiga dilipat.

Penjimatan bahan api telah dipertingkatkan sehingga 22km seliter, antara yang terbaik dalam kelas MPV. Dari segi keselamatan, semua varian didatangkan dengan enam beg udara.

Alza turut didatangkan dengan rangkaian Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang boleh dibahagikan kepada empat kategori: Bantuan Keselamatan Termaju (ASA), Bantuan Pemandu, Bantuan Tempat Letak Kereta dan Bantuan Lampu Hadapan.

Ciri-ciri terkini termasuklah Pandangan Panoramik 360⁰, brek parkir elektronik dengan ciri Auto Hold, brek cakera pada roda belakang, serta mode pemanduan Normal, Eco dan Power. 

Ciri keselamatan standard termasuklah ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang untuk membantu memarkir kereta.

Alza 2022 juga menyeragamkan ciri Advanced Safety Assist (ASA) pada semua varian. Ia merangkumi ciri Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

Semua varian dipasang dengan sistem Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention. Sebagai bonus tambahan, semua varian juga akan dilengkapi fungsi Leaving Home Headlamp Assist dan Hill-start Assist.

Alza 2022 hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000km (mana-mana tiba dahulu).

Para pelanggan dialu-alukan untuk mengunjungi mana-mana daripada 188 bilik pameran jualan Perodua di seluruh negara atau layari laman web rasminya untuk maklumat lanjut.

Google ads
Back to top button