Buletin

PERODUA KEKALKAN HARGA ALAT GANTI. BERI JAMINAN TIADA KENAIKAN SETAKAT INI

Beberapa minggu lalu, timbul laporan bahawa harga alat ganti kenderaan dijangka naik sehingga 60 peratus. Peningkatan mendadak itu jelas menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang kini sudahpun berdepan dengan pelbagai cabaran hidup.

Persoalan itu turut ditanya kepada  Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad sewaktu sidang media yang diadakan pada Ahad lalu di Iskandar Puteri, Johor. 

Beliau mengakui bahawa secara puratanya harga besi serta bahan mentah seperti resin dan paladium telah naik sekitar 35 peratus. Perodua masih menilai impak situasi tersebut kepada kos sedia ada. Namun, jangan bimbang kerana Perodua tidak mahu memindahkan kos itu ke atas pelanggan. 

“Jadi kami akan kekalkan harga OTR (di atas jalan) dengan menyerap kenaikan harga tersebut dan menguruskannya. Bagi harga alat ganti pula, tiada kenaikan harga. Kami sedang menilai dan kalau boleh tidak mahu naikkan harga.

Harga alat ganti dan servis sangat penting kerana profail pengguna kenderaan Perodua sedikit berbeza berbanding pengeluar lain. Justeru, Perodua perlu memastikan sesiapa sahaja yang menggunakan kereta Perodua akan mempunyai pengalaman pemilikan yang mampu milik. 

“Maksudnya, kami sedang menilai situasi ini dan kalau berdasarkan kepada situasi semasa, Perodua masih boleh mengekalkan harga alat ganti,” kata Zainal. 

Kawalan harga itu dapat dilaksanakan kerana Perodua melakukan sistem pembelian pukal berpusat (CPS) untuk besi, resin dan bahan mentah lain bagi kegunaan sendiri dan para pembekalnya. Rundingan pembelian yang dilakukan oleh Perodua itu membolehkan pembekal tidak akan merasai impak turun naik harga bahan mentah dan kadar pertukarangan wang asing. 

Zainal juga menyatakan adalah lebih baik sekiranya pengeluar kenderaan lain boleh bersama-sama Perodua untuk berunding dengan pembuat besi bagi memenuhi keperluan keseluruhan industri. 

“Kami terbuka untuk kolaborasi sebegitu. Atas sebab itu jugalah, kenaikan harga bahan mentak tidak akan menjejaskan Perodua dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang,” katanya lagi. 

Google ads
Back to top button