Buletin

PERODUA TERIMA 14,600 TEMPAHAN MYVI FACELIFT. SASAR JUALAN 240K UNIT KENDERAAN PADA 2022

Perodua mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima 14,600 unit tempahan untuk Myvi facelift setakat 2 Disember 2021. Myvi facelift dilancarkan secara rasmi pada 18 November lalu.

November mencatatkan jumlah pendaftaran Myvi yang agak rendah kerana wujud jurang penyerahan, kerana Perodua menunggu model baharu untuk dilancarkan. Malah, daripada 14,600 unit yang ditempah, 7,189 tempahan ialah penukaran daripada model lama.

Melihat kepada prestasi tahun ke tahun pula, Perodua telah mendaftar 42,288 unit Myvi di antara Januari hingga November tahun ini.

Bagi jualan keseluruhan pula, Perodua mencatat pendaftaran sebanyak 167,250 unit di antara Januari hingga November 2021, turun 14.2 peratus berbanding 194,980 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi tahun 2022 pula, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad mensasarkan jualan sekurang-kurangnya 240,000 unit. Ini melibatkan kenaikan 40,000 unit atau 20 peratus berbanding jangkaan 200,000 unit pada tahun 2021.

Angka 240,000 itu merupakan jangkaan awal dan sasaran lebih tepat akan dikongsi pada akhir Januari 2022.

“Kami percaya tempoh sukar akibat COVID-19 kian berakhir. Insya Allah, walaupun masih wujud risiko lain dalam pasaran, kami melihat  2022 sebagai tahun pemulihan.

“Malah, berdasarkan kepada maklumat terkini dan jangkaan, kami melihat kami mampu mencapai sasaran pendaftaran sekurang-kurangnya 240,000 unit pendaftaran pada tahun depan. Ia berikutan pasaran yang semakin stabil dan tempoh menunggu dapat dipendekkan secara signifikan,” jelas Zainal.

Beliau menjangkakan permintaan ke atas kenderaan akan memuncak dalam tempoh enam bulan pertama 2022. Ini kerana orang ramai mahu memanfaatkan insentif pengecualian cukai jualan yang diberikan oleh kerajaan. Namun, jualan pada separuh kedua 2022 dijangka lebih perlahan.

“Pendaftaran sebanyk 240,000 unit penting kerana kami mahu mengembangkan ekosistem automotif negara. Dengan pertumbuhan ini, kami menjangkakan pembelian komponen automotif akan kembali kepada angka RM.5 bilion pada tahun hadapan,” kata Zainal.  

Google ads
Back to top button