Buletin

ESR GARAGE – INILAH KING VTEC 2022!

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kalendar sukan permotoran tahun ini di Malaysia dimulakan dengan acara Battle Of The Kings 2021 Drag Racing yang berlangsung di Terengganu International Drag Strip. 

Acara itu dianjurkan oleh MUSC Motorsport bersama Koperasi Permotoran Terengganu Darul Iman Berhad dan Persatuan Permotoran Terengganu Darul Iman. Ia juga disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan negeri Terengganu. 

Ini merupakan acara sukan permotoran Drag yang melibatkan perlumbaan dua jentera dalam jarak 201 meter dan 402 meter. Sukan Drag turut menjadi platform bagi pasukan bertanding untuk mencatat masa terbaik yang diiktiraf secara professional.

Acara itu berlangsung pada 26 Januari 2022 sehingga 30 Januari 2022, merangkumi 11 kategori bagi motosikal dan 20 kategori bagi kereta. Sambutan yang diterima daripada pasukan seluruh Malaysia amat menggalakkan. 

Kali ini, kita ingin memberi tumpuan kepada satu pasukan yang berasal dari negeri paling utara di Malaysia iaitu Perlis. Pasukan yang dimaksudkan ialah ESR Garage dari Kangar, Perlis.

Pasukan ini memanfaatkan masa rehat yang panjang akibat dari pandemik. Mereka sempat menyiapkan dua jentera perang untuk digunakan di dalam kategori J iaitu VTEC Pro Street dan R, VTEC Pro Drag. 

Walaupun ESR dikenali ramai dengan dominasi mereka dalam kategori Drag Bike, mereka juga merupakan nama besar dalam kategori Drag Cars. Bermula dari acara Sepang Drag Battle pada tahun 2013 sehinggalah sekarang.

Pasukan yang diketuai oleh Adib Affandi mempertaruhkan dua jentera iaitu Honda EG bagi kategori J dan Honda EK bagi kategori R. Kita lihat sedikit sebanyak tentang jentera mereka ini.

Honda EG menggunakan enjin K24 yang disuap dengan bahan api methanol dan dipadankan dengan kotak gear sequential daripada Quaife. Menurut ESR Garage, kuasa yang dihamburkan mencecag 360whp dan daya kilas sekuat 333Nm. 

Kuasa ini seterusnya dihantar ke tayar semi slick daripada Mickey Thompson. Jentera ini mencatatkan masa terpantas iaitu 11.326 saat pada jarak 402 meter. Lebih manis, ia juga turut memenangi pusingan Battle sekali gus menobatkan mereka sebagai King VTEC Pro Street.

Honda EK turut menggunakan enjin K24 yang disuap dengan bahan api methanol. Jentera itu dilengkapi kotak gear sequential daripada Quaife. Hasil dyno menunjukkan jentera Naturally Aspirated (NA) ini mencatatkan kuasa sebanyak 450whp dan daya kilas 411Nm! Sangat kuat tuan-tuan untuk enjin 4 silinder NA. Kuasa yang hebat ini kemudian dihantar ke set tayar hadapan Full Slick daripada M&H. 

Ketika ET 1, jentera ini mengalami sedikit masalah teknikal yang membuatkannya tidak dapat beroperasi dengan sempurna. Ketika ET 2, jentera ini kembali dengan catatan masa 10.405 saat pada jarak 402 meter. Sekali gus menjadikan jentera ini sebagai jentera VTEC Pro Drag terpantas di Malaysia. 

Pada sesi ET terakhir iaitu ET 3, jentera ini sekali lagi memecahkan rekod dengan catatan masa 10.302 saat pada jarak 402 meter. Sekali gus menobatkannya sebagai jentera VTEC terpantas di Malaysia.

Jika dilihat kepada prestasi jentera ini, masa yang dicatat kemungkinan besar akan lebih baik sekiranya jentera ini diuji di litar yang lebih baik dan lebih lengkap seperti di negara jiran Thailand. Faktor permukaan litar menjadi faktor utama untuk jentera mendapat cengkaman yang terbaik.

 Ketika ini masa terbaik di dunia dalam kategori yang sama ialah 8.612 saat yang dipegang oleh pasukan La Gorda Chula dari Puerto Rico. Catatan masa ini dibuat pada 4 Mac 2020 di litar Orlando Speed World.

Jadi tuan-tuan, inilah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan tentang KING VTEC 2022 ini. Diharap pasukan ESR Garage dapat terus memberikan yang terbaik pada acara akan datang. 

Jika kita selusuri spesifikasi setiap jentera yang bertanding, kebanyakan jentera telah melalui modifikasi yang sangat ekstrem. Modifikasi yang kita lihat pula boleh dikatakan hampir setaraf dengan jentera yang bertanding di peringkat global terutamanya di Amerika Syarikat. Mungkin tidak lama lagi kita akan mampu bersaing dengan mereka.

Terima kasih diucapkan kepada penganjur dan pasukan yang bertanding. Terima kasih juga kepada para penyokong dari seluruh pelusuk negara. 

Diharap juga sukan permotoran Drag Racing ini akan mendapat lebib tumpuan dari pihak berwajib dan penaja. Bukan apa, jika ada sukan permotoran yang mampu menaikkan nama negara di peringkat global, inilah sukannya. Drag Race!

Google ads
Back to top button