PIAWAIAN EMISI EURO 7, VW MUNGKIN TAK HASILKAN GOLF 9
Pelaksanaan piawaian emisi Euro 7 yang bakal dilaksanakan pada beberapa tahun akan datang, dilihat akan memberi kesan kepada peningkatan kos pembuatan dan harga kereta berkuasa ICE.
Kos untuk membangunkan enjin pembakaran yang mampu memenuhi piawaian emisi terbaharu itu dikatakan meningkat sebanyak €3,000 (RM13,600) hingga €5,000 (RM22,700) dan menghampiri €10,000 (RM45,500) untuk kereta di Eropah.
Pada Mac 2021, Volkswagen mengumumkan bahawa Golf, T-Roc, Tiguan, dan Passat akan mendapat model generasi baharu meskipun Ketua Pegawai Eksekutif yang baru dilantik masih berhati-hati tentang masa depan Golf.
Dalam tembubual dengan akhbar Jerman Welt, Thomas Schafer berkata keputusan untuk membangunkan Golf generasi ke-9 masih belum dibuat.
Menurut pegawai tertinggi VW, adalah tidak berbaloi untuk mereka bentuk kereta ICE baharu yang tidak mungkin mempunyai kitaran hayat tujuh hingga ke lapan tahun. Apatah lagi kos untuk menghasilkan kereta yang mematuhi Euro 7 akan menjadi sangat mahal.
Sesetengah pasaran di Eropah memutuskan untuk beralih kepada EV lebih awal. Perkembangan itu pasti akan menjejaskan jualan Golf. Menurut Schafer, keputusan muktamad sama ada Golf generasi ke-9 bakal dibina atau tidak akan dibuat dalam tempoh 12 bulan lagi.