Buletin

PERTANDINGAN BADAN DAN CAT TINGKATKAN KEMAHIRAN KAKITANGAN PERODUA

Perodua baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Kemahiran Badan & Cat (B&P) buat julung kalinya. Ia sebagai usaha untuk membangunkan modal insan serta memberikan perkhidmatan B&P yang lebih baik kepada para pelanggannya.

Ditubuhkan pada tahun 2009, perniagaan B&P Perodua melibatkan pembaikan dan pemulihan kenderaan yang terlibat dalam pelanggaran. Selain menerima pembayaran tunai, B&P Perodua juga membantu pelanggan dalam proses tuntutan insurans.

“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Apabila sesebuah kenderaan terlibat dalam pelanggaran, keadaan struktur dan tahap keselamatannya mungkin terjejas.

“Justeru, juruteknik B&P kami telah dilatih secara profesional untuk memberikan mutu kerja yang terbaik,   dalam proses memulihkan kenderaan Perodua yang terlibat dalam perlanggaran,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

Walaupun Perodua telah menganjurkan Pertandingan Kemahiran Teknikal Kebangsaan sejak tahun 1997 yang melibatkan penasihat servis, foreman dan mekanik dari seluruh Malaysia, ini merupakan kali pertama pertandingan seumpamanya diadakan untuk kakitangan di B&P.

Para peserta diberikan senario sukar melibatkan pelanggan. Mereka kemudian dinilai bukan sahaja berdasarkan kebolehan teknikal dan kemahiran menyelesaikan masalah, malah penekanan yang diberikan kepada aspek kepuasan pelanggan.

Pertandingan Kemahiran B&P Perodua menyaksikan seramai 140 penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat daripada 33 hab B&P serta 4S di seluruh negara menyertai pusingan awal yang berlangsung di sepanjang Februari dan Mac lalu.

Peringkat separuh akhir pada April menghasilkan 12 finalis dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat.

Peringkat akhir pada minggu lalu menyaksikan Norhizam Zainal Abidin (Hab Puchong B&P), Hazinin Rosli (Kota Kinabalu 2) dan Fazwan Mazlan (Kota Bharu 1) menjuarai kategori masing-masing.

Tags
Google ads
Back to top button