
PESAING BJ40, BAW 212 DILANCARKAN DI CHINA – JANA 248HP, ANGGARAN HARGA RM65K
Setelah hampir 60 tahun, BAW 212 yang sering digelar sebagai “G Wagon China” kembali dengan perancangan besar.
Pada 6 Jun 2024, generasi baharu BJ212 secara rasmi dilancarkan, membawa bersama legasi yang bermula sejak tahun 1965.
Menariknya, model 212 baharu mengekalkan elemen reka bentuk ikonik serta dipadankan bersama ciri-ciri seperti lampu hadapan terpisah, gril, dan siluet kotak yang klasik selain, pemegang pintu turut direka dengan gaya tradisional 212.

Di bahagian dalaman, kabin 212 mengutamakan keselesaan dengan membekalkan kawalan fizikal untuk sistem iklim dan off-road berbanding menggunakan sentuhan.
Panel instrumen digital sepenuhnya dan paparan tengah terapung menyediakan ciri teknologi moden yang diperlukan.
Walaupun model 212 akan berhadapan dengan persaingan daripada model seperti BJ40 dan Haval H5, gabungan gaya klasik, keupayaan off-road, harga berpatutan menjadikannya pilihan menarik untuk pembeli.

Di bawah hud, 212 dilengkapi dengan enjin turbocharged 2.0-liter yang menghasilkan 248hp, setanding dengan model baharu BJ40, dipadankan bersama transmisi automatik 8-kelajuan.
Walaupun gaya luarannya yang lasak, tiada maklumat mengenai jumlah tork dihasilkan oleh enjin ini. 212 juga menawarkan sistem 4WD yang boleh dilaras dengan mod high dan low, serta mod pemanduan OFFROAD.

Harga anggaran untuk model 212 adalah antara AS$14,000 (RM65,722) hingga AS$20,000 (RM93,889).
Jika 212 berjaya meniru kejayaan jenama seperti Xiaomi, menawarkan pelbagai model pada harga yang berbeza, ia mungkin menjadi kenderaan off-road pilihan semua orang.









