
RUPA JELAS CFMOTO 675SR-R DIDEDAHKAN – ENJIN 3-SILINDER, LEBIH 100HP
Kali pertama CFMoto mendedahkan prototaip 675SR-R ini adalah pada September tahun lalu ketika di Zhuzhou International Circuit.

CFMoto kemudiannya mendedahkan enjin tiga silinder 675cc itu di EICMA pada November tahun lalu. Ketika itu, CFMoto turut memaklumkan bahawa platform berkenaan menawarkan lebih dari 100hp pada 12,300rpm.
CFMoto turut mendakwa enjin tersebut 10 peratus lebih ringan berbanding pengeluar lain dalam segmennya pada 55kg.

Menariknya, rupa jelas jentera akan datang ini hadir dalam bentuk model ‘one-off’ yang dinamakan sebagai CFMoto 675SR-R Aspar Edition dan turut diwarnakan dengan warna pasukan Aspar yang bersaing di Kejuaraan Dunia Moto2 dan Moto3.
Perbezaan utama antara model prototaip yang dipamerkan tahun lepas dan dan Aspar Edition ini adalah ketiadaan pelekat ‘camo’ yang melindungi jentera prototaip sebelum ini.

Hasilnya, kami dapat melihat dengan lebih dekat apa yang ditawarkan CFMoto bagi model 675SR-R ini.
Pertamanya, casis dan swingarm jelas mengguna pakai bahan jenis aluminium agar lebih ringan. Bahagian brek depan juga menampakkan kehadiran sejenis pelitup dan dipadankan bersama kaliper radial dari J.Juan.




Selain itu turut menampakkan kehadiran ‘winglet’ di bahagian bawah lampu hadapan serta di sisi panel hadapan. Di bahagian depan, jelas menampakkan reka bentuk LED yang diilhamkan dari 450SR termasuk bahagian DRL (daytime running light).

Menariknya, berbanding 500SR VOOM yang dibangunkan khas untuk pasaran China sahaja, 675SR-R ini akan diperkenalkan ke pasaran global. Kami menjangkakan CFMoto 675SR-R ini akan diperkenalkan dalam masa terdekat atau di pameran motosikal EICMA 2024 yang akan berlangsung di Milan, November ini.
GALERI: CFMOTO 675SR-R Aspar Edition





















