Buletin

PESAING TESLA, XIAOMI SU7 BAKAL MUNCUL DENGAN TIGA VARIAN, JANA 664HP

Di kala kereta dari Apple masih belum muncul, jenama automotif baharu dari China, Beijing Xiaomi, mencuri tumpuan apabila Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China mendedahkan imej model Xiaomi SU7.

Data MIIT tidak mendedahkan segala-galanya tentang EV sulung Xiaomi, tetapi ia mempunyai jarak roda 3,000mm, sepadan dengan Hyundai Ioniq 5 dan jauh lebih besar berbanding Tesla Model 3, 2,875mm.

Selain itu, pembeli mendapat pilihan rim 19 atau 20 inci dan juga boleh memesan kereta dengan sensor Lidar, yang terletak di belakang cermin depan untuk menyediakan ciri bantuan pemandu tercanggih.

Menurut laporan, Xiaomi bakal menawarkan tiga varian untuk model ini; SU7, SU7 Pro serta SU7 Pro Max.

Dari segi kuasa, ia dijana oleh motor elektrik tunggal, menghasilkan 295hp, pacuan roda belakang sahaja dan had kelajuan maksimum dihadkan pada 210 km/j.

Bagi AWD, ia menghamburkan kuasa 664hp dengan menggunakan dua motor dan boleh mencapai 265 km/j.

Laporan awal mendedahkan bahawa SU7 juga akan tersedia dengan enjin 1.5 liter tetapi MIIT masih belum mengesahkan perkhabaran tersebut.

Car News China turut melaporkan EV berkenaan bakal dilengkapi HyperOS Xiaomi, sistem pengendalian yang dibangunkan secara dalaman.

GALERI:

Google ads
Back to top button