Buletin

CEO XIAOMI AUTOMOBILE SASAR JUALAN EV 10 JUTA UNIT SETIAP TAHUN. MAHU JADI PEMEGANG UTAMA PASARAN EV

Sejak Xiaomi Automobile melangkah ke dalam industri automotif pada tahun 2021, Xiaomi tidak membuat sebarang kenyataan yang kukuh sehinggalah baru-baru ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Ju, memberitahu bahawa Xiaomi menyasarkan untuk menjual 10 juta EV setiap tahun.

Pada September 2021, Xiaomi Automobile dilancarkan di China dengan pelaburan awal sekitar AS$1.39 bilion (RM6.2 bilion). Ketika itu, Lei Jun berkata mereka menjangkakan untuk memulakan pengeluaran besar-besaran pada H1 2024.

Pada Julai 2022, kereta prototaip Xiaomi pertama melakukan ujian jalan raya. Kereta pertama mereka muncul sebagai sedan elektrik dengan penampilan sporty. Dari intipan, kelibat trak pikap Rivian R1T turut berada di Xiaomi Technology Park. Adakah Xiaomi akan bekerjasama dengan Rivian untuk membina EV? Tiada apa yang mustahil.

Maklumat baharu tentang Xiaomi Auto muncul beberapa hari lalu, apabila Kumpulan Xiaomi mengeluarkan laporan kewangan Q3 2022nya. Menurutnya, Kumpulan Xiaomi telah melabur 829 AS$115.9 juta (RM522.1 juta) dalam perniagaan inovatif, termasuk kenderaan elektrik pintar.

Lei Jun mengatakan Xiaomi sedang ‘menjalankan penyelidikan dan memperoleh pandangan mendalam tentang industri EV’. Beliau juga menjangkakan apabila industri EV akan mencapai kematangan, akan ada lima jenama yang memegang 80 peratus bahagian pasaran.

Dengan kenyataan tersebut, jelas Xiaomi mahu berada dalam senarai lima teratas. Oleh itu, Xiaomi Auto mahu menghantar lebih daripada 10 juta kenderaan setahun untuk melayakkan mereka berada dalam senarai pemegang pasaran.

Sudah tentu, ia adalah perspektif jangka panjang, tetapi kita dapat melihat dengan jelas Xiaomi mempunyai beberapa rancangan untuk industri EV.

Menurut media sosial China, kenderaan prototaip Xiaomi keluar dari barisan pengeluaran pada 28 September dengan nama dalaman ‘MS11’. Ia dilengkapi teknologi pengecasan 800V dan rangkaian kuasa 260kW (354 hp).

Google ads
Back to top button