Buletin

PESAWAT ANTONOV AN-26 RUSIA TERHEMPAS. 28 PENUMPANG, KRU MAUT

Pesawat Antonov An-26 Rusia yang dilaporkan hilang di semenanjung Kamchatka, timur Rusia, pada Selasa, disahkan terhempas dengan semua 28 penumpang termasuk anak kapal terkorban.

Pihak berkuasa berkata, pesawat itu dalam perjalanan dari ibu kota wilayah Petropavlovsk-Kamchatsky ke Palana, iaitu perkampungan di utara semenanjung Kamchatka, ketika terputus hubungan dengan kawalan trafik udara, laporΒ Reuters.

Memetik sumber,Β InterfaxΒ melaporkan bahawa pesawat itu dipercayai terhempas ke tebing tinggi ketika bersedia untuk mendarat dalam keadaan jarak penglihatan yang terhad disebabkan cuaca buruk.

Pihak berkuasa penerbangan awam Rusia mengesahkan bahawa lokasi nahas pesawat itu telah ditemui selepas kementerian kecemasan menghantar helikopter dan pasukan darat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Kementerian berkenaan juga mengesahkan terdapat 22 penumpang dan enam anak kapal di dalam pesawat yang mula beroperasi sejak 1982 itu.

Datuk Bandar, Palana, Olga Mokhireva, adalah salah seorang penumpang, lapor agensi TASS memetik pihak berkuasa tempatan.

Piawaian keselamatan penerbangan Rusia telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi kemalangan udara terutama membabitkan pesawat berusia masih biasa berlaku.

Pesawat era Soviet yang masih digunakan untuk penerbangan tentera dan orang awam di beberapa negara, telah terlibat dalam puluhan nahas maut sejak mula beroperasi sekitar 50 tahun yang lalu.

Antonov-28, pesawat yang serupa, terhempas ke hutan Kamchatka pada 2012 dalam nahas yang mengorbankan 10 orang di laluan yang sama. Penyiasat ketika itu mendapati kedua-dua juruterbang dalam keadaan mabuk ketika nahas berlaku. – Awani/Reuters

Google ads
Back to top button