
SEMAKIN TIDAK POPULAR, TOYOTA BATALKAN SEMUA IKLAN TV SUKAN OLIMPIK DI JEPUN
Toyota Motor Corp yang merupakan antara penaja utama Sukan Olimpik Tokyo dilapor akan membatalkan semua iklan televisyen di Jepun. Malah, Ketua Pegawai Ekskutif Toyota, Akio Toyoda dan ekskutif kanan tidak akan menghadiri acara pembukaan sukan terbesar di dunia itu yang dijadual berlangsung pada 23 Julai 2021.Â
Langkah yang agak mengejutkan itu dibuat kerana Toyota menggangap Sukan Olimpik Tokyo semakin tidak popular kerana rakyat Jepun bimbang ia akan menjadi penyebab kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19. Pandemik berkenaan menjadi sebab utama kenapa ia terpaksa ditangguhkan beberapa kali sejak tahun lalu.
Media Jepun membuat spekulasi keputusan tersebut dibuat kerana Toyota tidak mahu dikaitakan dengan acara sukan bermasalah itu dan boleh mencemarkan jenamanya.
“Olimpik menjadi acara yang tidak difahami oleh orang ramai,” kata jurucakap Toyota kepada akhbar Yomiuri. Tokyo kini berada dalam perintah darurat kali keempat sejak penularan bermula. Lebih memburukkan keadaan, lebih 25 orang didapati positif di perkampungan Olimpik. Manakala seorang atlet angkat berat Uganda dikatakan telah menghilangkan diri.
Perkembangan itu jelas tidak disenangi oleh rakyat Jepun yang kini menjadi antara negara maju paling perlahan dalam melaksanakan program vansinasi. Sehingga kini, hanya 20 peratus rakyat Jepun yang sudah divaksin.
Satu kaji selidik yang dijalankan oleh akhbar Asahi mendapati 68 peratus responden menyatakan mereka tidak yakin penganjur mampu mengawal jangkitan COVID-19. Sementara 55 peratus lagi tidak bersetuju dengan penganjuran sukan tersebut.
Pada asalnya, Toyota merancang untuk menyiarkan iklan TV di Jepun yang memaparkan atlet-atlet tajaannya. Perkembangan terbaharu tu membuatkan beberapa penaja utama lain mungkin mengambil pendekatan sama. Penajaan yang diterima oleh penganjur Olimpik Tokyo pada tahun ini merupakan jumlah paling besar pernah dinikmati oleh negara-negara lain.
Biarpun begitu, Toyota tidak mengubah apa-apa pelan pemasaran untuk Olimpik di peringkat global kerana perancangan media melibatkan kempen Olimpik serta Paralimpik diurus sendiri oleh negara-negara berbeza.Â