Buletin

DIPLOMAT RUSIA TOLAK TROLI KELUAR DARI KOREA UTARA

Sekumpulan diplomat Rusia bersama keluarga mereka meninggalkan Korea Utara dengan kaedah yang agak luar biasa menaiki troli digerakkan dengan tenaga manusia, di landasan kereta api.

Kumpulan terdiri daripada lapan orang itu menaiki troli berkenaan dan menggunakan landasan kereta api sejauh satu kilometer untuk sampai di sempadan Rusia.

Korea Utara menyekat sempadan negara berkenaan selama beberapa bulan berikutan ingin membendung penularan Covid-19.

Selain itu, kemasukan sebahagian besar kenderaan penumpang dan penggunaan kereta api turut disekat ke negara itu.

Bahkan, syarikat penerbangan milik Korea Utara, Air Koryo yang beroperasi dari Vladivostok, Timur Rusia digantung penerbangan selama beberapa bulan.

Perkara itu menyebabkan kumpulan diplomat Rusia berkenaan tidak mempunyai banyak pilihan untuk pulang ke negara asal.

“Oleh kerana sempadan ditutup lebih setahun lalu, mereka tidak mempunyai pilihan selain menempuh perjalanan sukar untuk pulang,” kata Kementerian Luar Negeri Rusia menerusi Facebook.

Gambar yang dikongsi di status berkenaan menunjukkan kumpulan berkenaan membawa beg pakaian menggunakan troli dengan berlatarkan pemandangan musim sejuk.

Setiausaha Ketiga kedutaan, Vladislav Sorokin menjadi tenaga ‘penggerak’ supaya troli itu dapat menyeberangi jambatan di Sungai Tumen ke Rusia.

Ia memandangkan pergerakan troli itu menggunakan tenaga manusia.

Sebelum menaiki troli itu, mereka sudah menempuh perjalanan selama 32 jam dengan kereta api dan menaiki bas selama dua jam, dari Pyongyang untuk sampai ke sempadan Rusia.

Pegawai kementerian menyambut mereka di sebuah stesen di Rusia sebelum kumpulan itu menaiki bas untuk ke lapangan terbang Vladivostok.

Sejak penularan Covid-19, Pyongyang memperketat kawalan pergerakan menyebabkan ramai diplomat asing meninggalkan negara berkenaan dan menutup kedutaan. – agensi

Google ads
Back to top button