
Petronas hari ini melancarkan produk pelinciran mereka yang diperbaharui dengan Ultraflex.
Sprinta bukanlah nama yang asing di kalangan produk pelincir motosikal tempatan, ia kini hadir dengan Ultraflex yang melindungi bahagian kritikal motosikal untuk menghasilkan prestasi maksimum dan menjamin enjin lebih tahan lama.
Formulasi unik yang dihasilkan menerusi pelincir generasi baru ini mampu bertindak pantas pada komponen kritikal motosikal seperti enjin, klac dan sistem gear.
Malah pada putaran enjin tinggi, pelincir ini berupaya mengekalkan kelikatan, kestabilan dan menahan kepanasan akibat tekanan tinggi.
“Hari ini, kami dengan bangganya memperkenalkan kepada anda formulasi yang telah dipertingkatkan pada pelincir Sprinta. Kami telah menguji teknologi pelincir ini dalam MotoGP dari sudut prestasi, efisensi dan reliabiliti,” ujar Aadrin Azli, CEO Petronas Dagangan Berhad (PDB)
Rangkaian pelincir baru ini direka untuk mematuhi piawaian terkini di peringkat global yang akan dilaksanakan pada 2020 seperti Euro 5 dan Bharat Stage (BS) VI.
Pelincir Sprinta baru ini dijual pada harga RM15 hingga RM67 sebotol (1 liter) dan akan mula berada di pasaran pada pertengahan November depan.
Bukan itu sahaja, Petronas akan mengedarkannya di seluruh dunia, bermula di India dan Thailand pada suku pertama tahun depan diikuti Indonesia, Vietnam dan negara lain.