Buletin

PEUGEOT 308 SW, WAGON YANG CANTIK DARI DEPAN KE BELAKANG!

Kereta jenis wagon mempunyai kelompok peminat tersendiri. Sesetengah pengeluar pula sentiasa menawarkan wagon kerana ianya sudah menjadi tradisi buat mereka.

Satu daripada pengeluar yang konsisten ialah Peugeot dengan model terbaru 308 SW.

Model 308 SW adalah kembar kepada hatchback 308 yang mana kedua-duanya sudah ditawarkan di United Kingdom.

Sebagai imbasan, pengguna tempatan boleh merasa wagon buatan Peugeot iaitu 508 SW yang dilancarkan pada tahun 2012.

Peugeot 308 dan 308 SW adalah model terbaru yang menggunakan gaya bahasa Peugeot dan dalaman i-Cockpit baharu.

Seperti biasa, rekaan Peugeot tampil menawan, tidak terlalu ekstrem dan mempunyai sensasi tersendiri.

Senang cerita, depan tepi dan belakang semuanya cantik untuk dipandang.

Peugeot 308 dan 308 SW juga adalah model pertama yang menggunakan logo baharu Peugeot dan di sebaliknya dipasang kemas sensor radar untuk sistem bantuan autonomi.

Dari segi rangkaian kuasa, 308 sudah tersedia dengan nadi plug-in hybrid sewaktu pelancaran dan varian elektrik penuh bakal menyusul pada tahun 2023.

Bukan satu tetapi dua varian plug-in hybrid yang diperkenalkan iaitu HYBRID 180 atau HYBRID 225.

Kedua-duanya menggunakan enjin 1.6 liter PureTech petrol turbo dan gabungan bateri 12.4kWH dan motor elektrik 81 kW.

308 HYBRID 180 boleh dipandu sejauh 59 kilometer (WLTP) dengan cas penuh.

Keupayaan untuk cas penuh menggunakan pengecas dinding 7.4kWH memerlukan 3 jam 50 minit manakala pengecas 7.4kW pula hanya 1 jam 55 minit.

Rangkaian kuasa pembakaran dalaman tunggal tanpa kacukan sistem elektrik masih ditawarkan.

Ada dua pilihan iaitu 1.2 liter PureTech petrol dan 1.5 liter BlueHDi diesel yang kedua-duanya berkuasa 130 bhp.

Kesemua model 308 menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan sebagai ciri standard.

Pada bahagian dalaman, i-Cockpit terbaru dengan rekaan sofistikated dihidangkan kepada pembeli. Lupakan ciri minimalis kerana Peugeot tegar dengan rekabentuk sebegini.

Stereng pelbagai fungsi bersaiz kompak manakala skrin sentuh HD berwarna 10 inci menggunakan sistem hiburan i-Connect (308 Allure dan ke atas).

Juga baharu ialah kawalan i-Toggles yang membolehkan pemilik membuat arahan pintas sendiri untuk pelbagai fungsi dan supaya mudah digunakan (308 Allure dan ke atas).

Sebagai sebuah wagon, ruang kargo mestilah sepadan dan untuk itu Peugeot menyediakan ruang seluas 608 liter dan boleh ditingkatkan kepada 1,634 liter apabila kerusi dibaringkan.

Ruang itu boleh memuatkan barangan dengan panjang 6 kaki!

Tentang harga, Peugeot 308 dan 308 SW ditawarkan pada harga permulaan £25,270 (RM135,417) dan £26,470 (RM141,847).

Seperkara menarik, model 308 hatchback dengan pelekat samaran telah ditemui di negara kita pada Januari lalu.

BACA: PEUGEOT 2008 CKD MULA DIHASILKAN DI GURUN. THAILAND JADI PASARAN PERTAMA

BACA: PEUGEOT 508 SW PSE – WAGON YANG CANTIK DAN JUGA LAJU

BACA: PEUGEOT 3008 2020, OBJEK SENI ATAU SUV?

Google ads
Back to top button