
PEUGEOT E-3008 RASMI DIPERKENALKAN, PLATFORM BAHARU, 322HP, JARAK GERAK 700KM
Peugeot hari ini memperkenalkan model baharu iaitu E-3008 yang dibina berdasarkan berdasarkan seni bina STLA Medium baharu bagi menggantikan platform EMP2.
Menerusi imej rasmi disiarkan oleh Peugeot, model ini menerima lampu tiga jalur di hadapan serta belakang sementara rekaan bumbung kelihatan agak rendah dan diserlahkan lagi dengan rim bersaiz 19 atau 20-inci.
Peugeot menyifatkan E-3008 adalah ‘SUV fastback elektrik’ yang menyerlahkan rangkaian kuasa pelepasan sifar serta siluet aerodinamik.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Peugeot mendatangkan rekaan susun atur papan pemuka i-cockpit model elektrik serba baharunya, untuk memberi nuansa moden dan futuristik.
Di dalam kabin, ia tampil bersama skrin panoramik melengkung bersaiz 21-inci berdefinisi tinggi dan digabungkan bersama skrin kluster digital serta skrin infotainmen.
Konsol tengah pula tampil ringkas dengan beberapa butang fungsi sahaja disertakan, manakala tombol gear dialihkan pada bahagian papan pemuka.

Selebihnya papan pemuka kelihatan seperti evolusi tema semasa termasuk dilengkapi pencahayaan ambien 8 warna di atas “trim aluminium tulen” dan fabrik berkualiti tinggi bagi mencipta rupa premium.
Dari segi kuasa, Peugeot E-3008 tiba dalam tiga versi iaitu dua versi dengan tetapan satu motor, 2WD, berupaya menghasilkan 210hp dan 228hp sementara versi dwi-motor AWD menghamburkan kuasa 322hp.
Bagi versi standard, Peugeot E-3008 menawarkan jarak gerak sehingga 525km manakala versi Long Range 228hp memberikan jarak gerak sehingga 700km.
Tiada pendedahan dibuat mengenai harga namun model ini dijangka akan mula dijual di Eropah pada Februari 2024.
Selain itu, Peugeot juga bakal mengeluarkan 3008 versi BEV dan PHEV pada penghujung Q3 2024.
GALERI:















- BACA: PEUGEOT 3008 DIDATANGKAN BERSAMA SKRIN 21-INCI, I-COCKPIT – TAMPIL LEBIH FUTURISTIK
- BACA: PEUGEOT 3008 ALLURE, SUV PERANCIS UNTUK PEMANDU YANG BERANI MENCARI KELAINAN
- BACA: PEUGEOT KEKAL PILIHAN NO.1 RAKYAT PERANCIS
- BACA: PEUGEOT 208, DACIA SANDERO KERETA PALING LARIS DI EROPAH – JATO DYNAMICS