Buletin

PKP 2.0 DITERUSKAN DI SELANGOR, KL, JOHOR DAN PULAU PINANG SEHINGGA 4 MAC 2021

Kerajaan mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di empat buah negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang bermula 19 Februari hingga 4 Mac ini.

Manakala negeri seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Sabah ditukarkan status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perlis pula ditukarkan status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).  Sementara kerajaan negeri Sarawak turut memaklumkan mengekalkan PKPB bermula 15 Februari hingga 1 Mac ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membentangkan perkara ini menerusi sidang khas Majlis Keselamatan (MKN) dan membentangkan penilaian risiko Covid-19 di dalam negara.

Secara umumnya KKM memaklumkan kes di kebanyakan negeri menunjukkan trend penurunan selepas dua minggu pelaksanaan PKP 2.0. Kes import dan rentas negeri turut menurun bermula 3 Februari lalu.

“Bagaimanapun, kes kekal tinggi di beberapa negeri antaranya Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Justeru, selepas membuat penilaian risiko dan perbincangan pelbagai agensi, sidang khas hari ini bersetuju mengekalkan PKP di negeri terbabit,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPB dan PKPP adalah sama seperti dilaksanakan sebelum ini.

“MKN sudah mengeluarkan SOP dan aktiviti yang dibenarkan menerusi laman sesawang mereka,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button