" "
Buletin

PKP: EKONOMI NEGARA RUGI RM2.4 BILION SEHARI

Ekonomi negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, PKP perlu dilaksanakan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dan menyelamatkan nyawa rakyat. Walaupun ia boleh melumpuhkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Tetapi kita tidak ada pilihan. Kita kena ambil langkah itu dan menghadapi impaknya. Semua orang terjejas kerana perniagaan tidak boleh dijalankan dan eksport terhenti.

“Justeru, kita perlukan satu pelan. Jika PKP dilanjutkan tanpa perancangan rapi, ekonomi Malaysia yang dibina selama lebih enam dekat akan musnah,” katanya.  

Bagi menangani impak itu, Kementerian Kewangan diberi masa selama dua minggu untuk merangka formula pakej ransangan ekonomi. Sebab itu lahirnya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam dua fasa.

Fasa pertama melibatkan RM250 bilion, dan fasa kedua RM10 bilion, khusus untuk menangani impak COVID-19 ke atas negara.

“Tujuannya supaya kedudukan ekonomi kita jangan sampai teruk sekali. Ini pun dikata pakej rangsangan, untuk relief, datang dalam satu bentuk untuk satu jangka yang tidak terlalu panjang, mungkin antara tiga sehingga enam bulan sahaja.

“Itu pun menyebabkan satu jumlah rangsangan dari segi fiskal hampir RM35 bilion, dan bentuk bukan fiskal seperti cukai dan yang lain-lain pun hampir beberapa puluh bilion yang terpaksa kita sediakan, demi membantu siapa-siapa yang terlibat dalam industri, dalam bentuk perniagaan, membolehkan mereka bertahan dalam satu tempoh yang lama sedikit,” katanya lagi.

Muhyiddin menegaskan keutamaannya kini adalah untuk meminimumkan jumlah kehilangan kerja dalam kalangan rakyat. Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif di Bangunan Putra Perdana, malam semalam.

Kerajaan juga dilihat memberi keutamaan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ia menjadi tunjang penting ekonomi negara. PKS menyumbang sekitar 35 peratys kepada keluaran negara kasar dan menawarkan 70 peratus peluang pekerjaan, sebab itulah ia sangat penting.

Perdana Menteri mengakui pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bukan bermakna ia mampu memulihkan ekonomi negara seperti sedia kala. Sebaliknya kerajaan akan terus mengkaji sama ada perlukah lagi suntikan fiskal atau usaha lain pada masa akan datang.

“Sebab itu tidak boleh kita elakkan, (maka) kita perlu menentukan dalam kita nak menjaga, memelihara kesejahteraan rakyat dari penyakit wabak COVID-19, kita juga nak memastikan supaya ekonomi kita akan mampu bertahan dalam satu jangka masa yang agak berpatutan,” katanya lagi. – Astro Awani, The Star

Google ads
Back to top button