Buletin

BERLUMBA DI LEBUH RAYA DASH – DUA MEKANIK BERJAYA DITAHAN, RAMPAS PROTON SATRIA

Sebuah video berdurasi 56 saat memaparkan aksi lumba kereta di Lebuh Raya DASH tular di pelbagai platform media sosial, semalam.

Menerusi video tersebut, terdapat enam kereta jenis Proton Satria didapati berlumba sekitar pukul 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi dengan jarak perlumbaan bagi sehala kira-kira dua kilometer.

Menurut laporan Kosmo, difahamkan bahawa perlumbaan tersebut diadakan untuk menguji jentera masing-masing tanpa tawaran sebarang hadiah.

Pihak polis daerah Shah Alam bagaimanapun berjaya menahan dua orang suspek berusia 20 dan 29 tahun, bekerja sebagai mekanik, pada pukul 11.49 malam selain merampas dua kereta jenis Proton Satria.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek didapati berlumba dengan berpatah balik melawan arus sehingga ke Plaza Tol Denai Alam.

“Mereka berlumba dari Plaza Tol Denai Alam sehingga ke Kilometer (km) 0 (susur ke Pulau Angsa) Lebuh Raya DASH.

Mohd. Iqbal menambah, pihaknya kini mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Beliau menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Justeru, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button