Buletin

POLESTAR DAN STOREDOT BERJAYA CAS PROTOTAIP POLESTAR 5 DARI 10 – 80% DALAM 10 MINIT!

Di antara perkara yang sering dibandingkan di antara kenderaan yang menggunakan petrol atau diesel dengan elektrik bateri (BEV) ialah tempoh pengecasan.

Diakui bahawa pengecasan BEV mengambil masa yang lebih lama namun boleh disingkatkan melalui pengecasan pantas.

Masa yang diambil untuk mengecas pula boleh dimanfaatkan untuk kegiatan lain seperti menyiapkan kerja dan pelbagai lagi. Apa yang penting ialah perancangan.

Menyedari hakikat tersebut, pengeluar kenderaan dan syarikat pengecasan tampil dengan pelbagai pembaharuan.

Sebagai contoh, Polestar dan perintis pengecasan bateri pantas StoreDot berjaya menunjukkan pelaksanaan teknologi Extreme Fast Charging (XFC) untuk kereta buat kali pertama dan mengecas prototaip Polestar 5 dari 10 sehingga 80 peratus dalam masa 10 minit!

Kereta prototaip itu menunjukkan kadar pengecasan yang konsisten dari 310 kilowatt (kW) dan meningkat kepada 370 kW pada penghujung pengecasan.

Demonstrasi pertama di dunia tersebut (10 minit / 10 – 80% pengecasan pantas) menggunakan sel silikon yang dominan di dalam kereta yang boleh dipandu berbanding di dalam makmal.

Pek bateri 77 kilowatt-jam (kWj) khas mempunyai potensi untuk ditingkatkan sekurang-kurangnya 100 kWj dan boleh menambah jarak sehingga 320 kilometer (km) untuk sebuah kereta elektrik sederhana dalam masa 10 minit.

Ujian XFC oleh Polestar dan StoreDot direka bagi menunjukkan Pembuktian Konsep (PoC) untuk teknologi bateri XFC yang mungkin dapat digunakan pada kenderaan Polestar akan datang.

Teknologi XFC StoreDot

  • Menggunakan sel silikon yang dominan dengan ketumpatan tenaga setara sel canggih NMC
  • Tidak memerlukan sistem penyejukan khas di dalam kenderaan
  • Modul bateri XFC mempunyai fungsi struktur yang meningkatkan sifat mekanikal dan keupayaan penyejukan selain mampu mengekalkan berat atau lebih ringan dan boleh dikitar semula dan diselenggara

Pada hari ini, kadar pengecasan pantas bergantung kepada kapasiti berbaki (SoC) bateri dan kadang kala boleh menurun secara ketara apabila SoC meningkat atau bertambah.

Semasa ujian, kelajuan pengecasan meningkat dari 310 kW pada tahap SoC 10% kepada lebih 370 kW pada SoC 80%.

Ujian itu menunjukkan teknologi XFC mampu mengecas dengan konsisten tanpa perubahan ketara pada kelajuan pengecasan atau kecekapan apabila dicas dalam julat tenaga tersebut.

Satu lagi perkara penting, teknologi XFC boleh menggunakan infrastruktur pengecasan DC sedia ada yang kini mempunyai kuasa setinggi 350 kW atau lebih.

Sekiranya menjadi kenyataan, masa pengecasan pantas setara pengisian petrol atau diesel.

Berbekalkan keupayaan tersebut, tidak perlu tunggu sepuluh minit, lima minit pun memadai untuk menyambung perjalanan.

Google ads
Back to top button