
POLESTAR BUAT KOJA, RUMAH ATAS POKOK DI FINLAND!
Dari pasukan perlumbaan kepada menghasilkan kereta jenama sendiri, Polestar kini membina rumah atas pokok di Finland.
Ini bukan cabang perniagaan baharu tetapi lanjutan kepada Pertandingan Rekabentuk Polestar 2021.
Projek yang dikenali sebagai KOJA iaitu rumah atas pokok dengan ruang kecil adalah hasil pereka Finland, Kristian Talvitie dan menerima sebutan khas di dalam pertandingan tersebut.
Perkataan koja di dalam bahasa Sweden bermaksud pondok atau sarang dan juga berkongsi dengan perkataan koje dalam bahasa Jerman dan こや dengan sebutan sama di dalam bahasa Jepun.
Rumah atas pokok itu dibuat sebagai persediaan kepada pertandingan edisi 2022.
KOJA dibina di Fiskars, Finland dan merupakan hasil pertandingan pertama dengan skala penuh dan satu daripada pameran House by an Architect yang dianjurkan di hub seni dan reka bentuk itu.
Rumah ini dipasang pada batang pokok di bawah rimbunan daun dan penghuni boleh menikmati pemandangan melalui facade berkaca.
KOJA adalah kesinambungan kepada trend ruang kecil dan terbuka untuk mereka yang mahu menikmati belantara.
Ianya juga selari dengan bahasa reka bentuk dan nilai kemampanan Polestar dengan meminimumkan penggunaan bahan dan tenaga dan pada masa yang memaksimumkan pengalaman.
Bagi merealisasikan reka bentuk ini, Kristian Talvitie telah bekerjasama dengan kakitangan Polestar Design di Gothenburg, Sweden dan agensi reka bentuk Ultra dari Finland.
Ianya dibina menggunakan bahan yang mampan dan tahan lasak seperti kayu dan wul dari sumber tempatan.
Polestar sememangnya berpegang kepada reka bentuk minimalis dan tidak berserabut dan boleh dilihat pada kenderaan buatannnya.
Selain itu, ibu pejabat global Polestar di Gothenburg juga menggunakan konsep ringkas dan berkotak.
BACA: INI CONTOH RANGKA KERETA ALUMINIUM, GUNA UNTUK POLESTAR 5
BACA: ADAKAH INI SENI? BANGUNAN POLESTAR BERKOTAK MACAM KERETA VOLVO
BACA: POLESTAR 2 BST EDITION 270 – EV PRESTASI TINGGI EDISI TERHAD UNTUK CHINA, EROPAH, USA















