Motosikal

POLIS AMPANG JAYA SITA 31 MOTOSIKAL RODA TIGA DITUNGGUNG WARGA MYANMAR TANPA LESEN

Sebanyak 31 motosikal roda tiga ditunggang individu warga Myanmar tanpa lesen disita dalam Operasi Motosikal Roda Tiga yang dijalankan di sekitar daerah Ampang sejak 1 November lalu hingga hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ampang Jaya, Deputi Superintendan Abd Hamid Omar berkata, pihaknya mengesan beberapa individu warga Myanmar menunggang motosikal roda tiga untuk mengangkut barangan lusuh.

“Operasi ini dijalankan di sekitar Pandan Mewah dan Taman Tasik Tambahan berdasarkan aduan serta maklumat daripada orang awam yang mendakwa terdapat warga asing menunggang motosikal roda tiga melanggar undang-undang dan peraturan jalan raya.

“Mereka (warga asing) yang menggunakan motosikal roda tiga kebiasaannya aktif beroperasi pada waktu pagi sebelum menjual barangan lusuh di kedai kitar semula,” katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Ampang Jaya

Abd Hamid berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 618 saman berkaitan kesalahan tiada lesen memandu sepanjang tempoh dua minggu operasi itu dijalankan.

“Majoriti saman yang dikeluarkan itu membabitkan warga asing yang tiada lesen memandu termasuk warga Myanmar yang menunggang motosikal roda tiga.

“Tindakan sita motosikal roda tiga berkenaan dibuat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sekiranya pemilik asal motosikal mahu menuntut semula motosikal yang disita, mereka perlu datang ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya dengan membawa dokumen berkaitan.

“Kami juga akan mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan itu kerana membenarkan motosikal berkenaan digunakan oleh individu lain yang tiada lesen,” katanya. – Harian Metro¬†

Google ads
Back to top button