Buletin

42 PESANAN MAKANAN SAMA. KEJIRANAN DIPENUHI PENGHANTAR MAKANAN

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun membuat pesanan melalui aplikasi online terpaksa berdepan situasi menerima 42 pesanan makanan yang sama di Barangay Mabolo, Cebu, Filipina berikutan masalah internet.

Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 11 pagi, Rabu lalu apabila kanak-kanak itu bersama neneknya memesan filet ayam dengan nasi serta kentang goreng berharga 189 peso (RM15.89) tetapi terpaksa membayar 7,938 peso (RM671) untuk 42 pesanan.

Begitupun, dia gagal membayar keseluruhan 42 pesanan kerana ibu bapanya hanya meninggalkan wang secukupnya untuk membeli filet ayam itu.

Memetik laporan SunStar Cebu, jiran kanak-kanak tersebut, Dann Kayne Suarez berkata, kanak-kanak itu sudah biasa dan kerap memesan makanan menggunakan aplikasi terbabit.

Katanya, ibu bapa kanak-kanak itu meninggalkan telefon agar dia dapat membuat pesanan makanan untuk nenek dan dirinya.

Bagaimanapun, terdapat masalah internet menyebabkan dia menekan pesanan sama sebanyak beberapa kali.

Sekumpulan hampir 42 penghantar makanan yang tiba di kejiranan secara serentak menyebabkan jiran tetangga di kawasan tersebut terkejut sehingga ia menjadi viral di media sosial.

Kanak-kanak itu dilaporkan ketakutan dan menangis sebaik melihat kedatangan pesanan yang sangat banyak berikutan tiada wang untuk membayarnya.

Selepas, kisah kedatangan rider penghantar makanan yang ramai tersebar di kawasan itu, jiran-jiran termassuk Suarez telah membeli filet ayam berkenaan bagi membantu kanak-kanak tersebut dan memastikan tiada rider pulang dengan tangan kosong.

Begitupun, tidak semua pesanan makanan dapat dibeli oleh penduduk. -agensi

Google ads
Back to top button