Buletin

HONDA MAHU JADI PENGELUAR EV SEPENUHNYA MENJELANG TAHUN 2040. TIADA LAGI ENJIN ICE

Honda secara rasmi mengumumkan bahawa ia mahu menghentikan jualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) bermula tahun 2040.

Inisiatif itu nyata selari dengan kebanyakan pengeluar kenderaan utama lain yang ingin menawarkan kereta lebih mesra alam. Tidak seperti Toyota yang enggan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya (EV) kecuali terpaksa, Honda nampaknya lebih komited untuk beralih menghasilkan EV. 

Malah, Honda sudah menandatangani perjanjian dengan General Motors untuk menggunakan bateri Ultium pada model Honda dan Acura yang dijangka diperkenalkan pada tahun 2024. Penganalisis syarikat penyelidikan automotif Fourin, Yachiyo Tanaka menyifatkan pelan Honda itu sebagai sangat berani. 

Namun, pelan Honda untuk hanya menghasilkan EV disokong oleh jangkaan penganalisis automotif yang meramalkan jualan EV akan terus meningkat daripada 3.1 juta pada tahun 202 kepada lebih 14 juta unit menjelang 2025 di seluruh dunia. Setiap pengeluar pastinya mahukan sebahagian daripada kek pasaran EV yang cukup menguntungkan itu. 

Honda tidak terkecuali. Pengumuman terbaharu ini tentunya mendapat maklum balas positif daripada para pelabur yang ingin tahu tentang bagaimana ia akan menjadi pengeluar EV. Namun, sudah pasti bukan semua bersetuju dengan perkembangan terbaharu ini.  

Google ads
Back to top button