Buletin

POTENSI KERJASAMA BUGATTI DAN RIMAC AKAN DITENTUKAN BEBERAPA BULAN LAGI

Volkswagen Group dijangka membuat keputusan mengenai potensi kerjasama di antara Bugatti dan Rimac dalam masa beberapa bulan lagi.

Pada September 2020, timbul laporan bahawa Volkswagen Group akan menyerahkan pengurusan Bugatti kepada Rimac bagi membolehkan Porsche mendapat jumlah pegangan saham lebih besar ke atas pengeluar kereta elektrik Croatia tersebut.

Volkswagen bagaimanapun masih membisu mengenai perjanjian berkenaan. Namun, dalam satu temuramah dengan akhbar Jerman Automobilewoche, Ketua Pegawai Eksekutif Oliver Blume ada berkongsi sedikit perkembangan mengenainya.

“Buat masa sekarang, perbincangan sedang giat dijalankan tentang bagaimana Bugatti boleh dibangunkan dengan cara terbaik. Rimac mungkin boleh memainkan peranan kerana kedua-dua jenama ini memiliki keupayaan teknologi yang tersendiri.

“Terdapat banyak senario dengan struktur yang berbeza. Saya percaya isu ini akan diputuskan oleh kumpulan dalam separuh pertama tahun ini,” jelas Blume.  

Blume ialah individu yang tepat untuk memberi komen tentang perkara ini. Sebabnya, dia kini mengetuai Porsche dan duduk dalam Lembaga Pengarah Volkswagen AG.

Tahun lalu, timbul khabar angin bahawa jumlah pegangan saham Porsche dalam Rimac akan meningkat daripada 15.5 peratus sekarang kepada 49 peratus. Bugatti kemudian bakal diserahkan kepada Rimac tanpa sebarang transaksi kewangan.  

Google ads
Back to top button