Buletin

PRANK POCONG, PEMANDU LORI LARI KETAKUTAN. LORI PULA JALAN SENDIRI MASUK PARIT

Seorang pemandu lori meninggalkan kenderaan dipandunya selepas ketakutan apabila terkena prank pocong di Jalan Denpasar-Gilimanuk, Yeh Embang, Jembrana, Bali Indonesia, Jumaat lalu.

Lebih malang lagi, lori membawa muatan plastik itu berjalan sendiri dan termasuk ke dalam parit sehingga mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Menurut pemilik trak penunda yang membantu menunda kenderaan terbabit, Putu San Artha Wiguna, kejadian berlaku pada Jumaat lalu apabila pemandu lori dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Gilimanuk ke Denpasar terserempak tayar motosikal di laluan jalan.

“Pemandu ingin mengalihkan tayar berkenaan kerana bimbang sekiranya ada motosikal terlanggar objek itu.

“Selepas mengalihkan tayar, dia kembali ke lori dan mendapati terdapat sosok Pocong di belakang kenderaannya.

“Dia panik dan mengambil keputusan melarikan diri sambil enjin lori masih hidup sehingga ia berjalan sendiri masuk ke dalam parit,”jelasnya.

Wiguna menambah, ketika melarikan diri, pemandu tersebut terdengar sekumpulan remaja ketawa sebelum hilang dari pandangan.

Lori berkenaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan perlu ditunda ke bengkel berdekatan.

Berikutan itu, pemandu lori telah membuat laporan polis.

Pihak polis Jembrana berjaya menahan lapan remaja di bawah umur berhubung kejadian terbabit .

Difahamkan, para remaja berkenaan melakukan prank untuk membikin kandungan video mereka.

Dalam pada itu, pihak berkuasa telah memanggil semua ibu bapa remaja berkenaan.

“Pihak polis tidak menghalang para remaja melakukan kandungan video tetapi bukan dengan cara sedemikian kerana ia boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya,” kata Ketua Polis Jembrana AKBP, Ketut Gede Adi Wibawa- tribunnews

Google ads
Back to top button