Buletin

PEMANDU TERTIMBUS DALAM SALJI SETEBAL 1.2 METER SELAMA 10 JAM

Seorang pemandu kereta terselamat apabila kenderaannya dilitupi salji setebal 1.2 meter selama 10 jam di bandar Owego, Amerika Syarikat.

Menurut Polis negeri New York, lelaki berusia 58 tahun itu memberhentikan kenderaan di bahu jalan apabila ribut salji melanda.

Bagaimanapun, kenderaan yang dinaiki ditimbus salji setebal 1.2 meter pula sehingga menyebabkan mangsa Kevin Kressen, terperangkap di dalam kereta selama 10 jam.

Kressen telah menghubungi pihak berkuasa meminta pertolongan tetapi kenderaan terbabit tidak dapat dikesan akibat timbunan salji berkenaan.

Lebih malang lagi, tali sawat kipas kenderaan mengalami kerosakan sehingga pemanas haba tidak dapat berfungsi.

Dia bernasib baik apabila seorang anggota polis yang melakukan pencarian mengesan satu objek seperti peti surat di satu kawasan salji tebal.

Dia kemudian mendapati objek berkenaan adalah kereta mangsa dan mendapati lelaki itu masih berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Jika lelaki itu terperangkap untuk sejam lagi, mungkin dia akan kehilangan nyawa,” katanya.

Berikutan kejadian tersebut, Kressen di bawa ke Hospital Lourdes untuk mendapatkan rawatan.

Dia  mengalami hipotermia dan luka beku (frostbite) akibat terperangkap terlalu lama dalam kenderaan itu. – agensi

Google ads
Back to top button