Buletin

PRODUKSI ENJIN W12 BENTLEY YANG PALING BERKUASA BERAKHIR TAHUN 2024

Enjin Bentley yang paling berkuasa, iaitu nadi bentangan W12 dijangka akan ditamatkan produksinya kira-kira setahun dari sekarang menerusi model terakhir Bentley Batur.

Unit enjin 6.0 liter turbo berkembar W12 yang duduk di bawah bonet Batur itu mempunyai talaan kuasa mencecah 740 hp dan 999 Nm, jauh lebih tinggi berbanding angka 710 hp yang diumumkan pada tahun 2022.

Namun, enjin W12 yang telah ditala semula itu hanya dikhususkan untuk 18 buah model Batur sahaja, dan setiap satu unit telah pun habis dijual.

Menurut Bentley, pelanggan yang berminat boleh mendapatkan model-model seperti Bentayga, Continental GT dan Flying Spur dengan talaan kuasa 649 hp sebelum tarikh akhir April 2024 menjelang.

Difahamkan, seramai 30 pakar akan mengambil masa sekitar 6.5 jam untuk membina dan menguji enjin W12 ini.

Bentley memulakan produksi enjin W12 pada tahun 2003 setelah syarikat itu diambil alih oleh Volkswagen.

Sepanjang tempoh 20 tahun, sudah lebih 100,000 unit enjin itu telah dibina untuk pelbagai jenis model Bentley.

Selepas April 2024, kilang yang digunakan untuk memasang enjin W12 itu akan diubahsuai untuk memberikan laluan kepada pemasangan trenkuasa hibrid.

Google ads
Back to top button