" "
Buletin

PRODUKSI X-70 BERMULA DI KILANG PROTON TG MALIM

Selepas genap setahun dilancarkan di Malaysia, buat pertama kalinya Proton X70 akan memulakan pemasangan tempatannya di kilang baharu PROTON di Tanjung Malim.

Hadir di majlis perasmian ialah YB Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON, An Conghui, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group serta barisan pengurusan kanan PROTON.

Sejak dilancarkan pada 12 Disember 2018, Proton komited untuk memulakan pengeluaran di Tanjung Malim menjelang akhir tahun 2019. Hari ini, ppada tanggal 13 Disember 2019, Proton secara rasminya berjaya menepati jadualnya.

SUV premium segmen C yang terlaris di Malaysia dihasilkan di kilang binaan baharu di Tanjung Malim yang dibina dengan kos sebanyak RM1.2 billion. Ini merupakan satu pencapaian terbaik dalam masa yang singkat.

Pada masa yang sama, PROTON juga telah bekerjasama dengan pembekal-pembekal tempatan dan luar negara dalam memastikan segala bahagian atau parts yang diperlukan mencukupi apabila aktiviti pengeluaran SUV pertama tersebut bermula.

“Hari ini PROTON sekali lagi mencatatkan sejarah dengan mengambil satu langkah kehadapan untuk menjadi jenama automotif bertaraf global. Melalui pengeluaran Proton X70 di Tanjung Malim, kami telah mengambil langkah besar untuk menonjolkan kebolehan kami kerana itu adalah impian yang kami ingin kecapi buat masa ini.

“Kilang baharu ini bukan sahaja akan menghasilkan produk-produk baharu yang akan dibangunkan bersama Geely tetapi ia juga akan berfungsi menjadi pusat pengeluaran bagi model pemanduan sebelah kanan kerana kami akan mula mengeksport ke negara-negara di seluruh dunia,” kata Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

Bercakap di majlis tersebut, An Conghui mengulas mengenai kedudukan PROTON yang menjadi sebahagian daripada Geely Auto Group sebagai rakan kongsi yang kukuh untuk meningkatkan jualan di pasaran ASEAN.

“PROTON telah melakukan pelbagai transformasi yang ketara sejak dua tahun lalu. Pengalaman perkongsian antara kami telah menghasilkan persefahaman yang mendalam dan kami berbesar hati untuk membantu PROTON merealisasikan aspirasi globalnya. Kami akan terus menyokong PROTON berkembang di pasaran Malaysia dan di rantau Asean secara meluas dan pasaran luar lingkaran Asean,” katanya.

GALERI

Google ads
Back to top button