Artikel Pilihan

PROJEK RESTORASI NISSAN SKYLINE GT-R R32 OLEH TOYOTA – BETUL KE NI?

Selepas dilanda wabak Coronavirus, dunia ni memang sudah kelihatan agak kucar kacir untuk bangkit kembali. Bukan itu sahaja, tragedi yang menimpa George Floyd di AS seperti mencetuskan kembali perangai buruk manusia yang mengganggu gugat kestabilan sosial dan ekonomi dunia.

Jadi kita perlukan cerita-cerita berkisarkan kasih sayang contohnya macam projek restorasi Nissan Skyline GT-R R32 oleh sekumpulan mekanik otai untuk majikan mereka yang merupakan syarikat kereta terbesar di Jepun. Bukan Nissan tetapi Toyota. Biar betul? Toyota selamatkan kereta keluaran pesaing mereka?

Bagi mereka yang pernah ke History Garage yang terletak di sebelah showroom Megaweb Toyota di Odaiba, Tokyo, mereka mungkin faham kenapa Toyota buat macam ni. Garaj dan ruang pameran yang dimiliki oleh Toyota tersebut menempatkan pelbagai kereta unik dan klasik dari serata dunia dan bukan hanya dari keluaran Toyota. Kita akan dapat saksikan kereta-kereta unik seperti BMW Isetta dan Corvette C2 dipamerkan selain daripada segala jenis kereta keluaran Jepun di bawah satu bumbung.

Bukan itu sahaja, kesemua koleksi kereta yang dipamerkan boleh dipandu dan sekali sekala pekerja di sana akan membawa kereta-kereta tersebut keluar untuk demonstrasi dan membawa bersama pengunjung untuk merasai pengalaman sebenar bersama kereta-kereta hebat ini.

Tingkat bawah History Garage menempatkan bahagian penyelenggaraan dan restorasi. Menariknya jika membuat lawatan ke sana, kita boleh melihat sendiri para mekanik mahir ini membuat kerja restorasi di depan mata kita. Hampir semua mekanik ini merupakan pekerja yang sudah berpengalaman dalam bidang pembuatan dan cukup mahir dengan kerja mereka.

Ruang restorasi ini tidak besar mana dan kelengkapannya pun kelihatan lebih kurang dengan mekanik bawah pokok tapi itulah yang seronoknya. Ia nampak lebih real dan bukannya seperti dibuat-buat.

Cuma kerja-kerja mengecat dan bodywork dijalankan di tempat lain kerana tempat ini memang tidak sesuai untuk kerja-kerja seumpamanya. Restorasi R32 ni sebenarnya sudah agak lama dan mungkin tertunda sehinggalah Nissan membuat keputusan untuk menghasilkan kembali alat-alat ganti R32 baru-baru ini.

Melihat sebuah syarikat membaik pulih dan merestorasi model keluaran syarikat pesaing mereka mungkin membuatkan penggemar kereta merasa sebak. Inilah sebenarnya yang dunia ini perlukan pada masa ini. Ketepikan perbezaan ideologi, warna kulit, bangsa ataupun fahaman politik untuk kehidupan yang lebih baik.

Kalau Toyota boleh melakukan restorasi kereta keluaran Nissan dengan penuh bangga, kenapa kita tidak boleh berubah dan lebih bertoleransi terhadap orang lain?

Google ads
Back to top button