Buletin

PROTON BUKA PUSAT 4S TERBESAR DI KOTA BHARU

PROTON baru-baru ini membuka pusat 3S/4S yang ke- 149. Dengan penambahan tersebut, menjadikannya jumlah cawangan tertinggi dalam industri automotif tempatan.

Terletak di Kota Bharu, pusat pengedaran Harima Auto Mobil 4S (Harima) baharu ialah pengedar PROTON terbesar di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Pusat pengedaran itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah bersama Pengasas Harima, Liew Foo Lin dan Pengarah Harima, Liew Vee Lee.

Selaras dengan hala tuju perniagaan PROTON, syarikat memutuskan untuk melabur dalam pusat 4S baharu untuk menaik taraf pengalaman pembelian, memberikan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik dan menjadi pusat tumpuan bagi pemilik PROTON di negeri itu.

Sebagai pengedar automotif berpengalaman, Harima menyedari keperluan untuk menyediakan perkhidmatan melangkaui jangkaan pelanggan memandangkan persaingan yang kuat daripada jenama lain di Kota Bharu.

Terletak di Tunjong, pengedar 4S itu mempunyai keluasan binaan 2,400 meter persegi dengan sebelas ruang servis, termasuk ruangan ketuk dan cat. Bilik pameran pula boleh memuatkan sepuluh kenderaan untuk dipamerkan.

Seperti pengedar 4S yang lain, terdapat kawasan permainan kanak-kanak, WIFI percuma dan ruang istirahat pelanggan.

Harima juga bekerjasama dengan Proton Global Services (PGS) untuk menawarkan kemudahan lain. Terdapat ruang minuman yang menyajikan kopi Starbucks serta sudut produk berjenama PROTON dan R3.

Syarikat itu merupakan pengedar pertama di Kelantan yang mempunyai kedua-dua perkhidmatan ini, yang pastinya akan dapat menarik minat pelanggan.

Google ads
Back to top button