Buletin

PROTON e.MAS 7 TERUS DOMINASI PASARAN EV MALAYSIA

PRO-NET, anak syarikat kepada pengeluar kereta nasional PROTON, baru-baru ini mengumumkan bahawa Proton e.MAS 7 telah mencatatkan prestasi yang cemerlang pada suku pertama tahun 2025 dengan penghantaran sebanyak 1,853 unit.

Pada bulan Mac sahaja, model EV ini berjaya menjual 797 unit, menjadikannya sebagai model EV paling popular di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 30 peratus setakat ini.

Proton e.MAS 7 menawarkan ciri-ciri hebat dalam kelasnya pada harga berpatutan, menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang mahu beralih kepada mobiliti elektrik.

Untuk rekod, harga model ini bermula dari RM105,800 untuk varian Prime dan RM119,800 bagi varian Premium.

Satu kajian yang dijalankan oleh PRO-NET menunjukkan bahawa pelanggan memilih Proton e.MAS 7 kerana harganya berbaloi, ruang kabin dan bagasi serba luas, serta pelbagai ciri inovatif yang ditawarkan.

Selain itu, keselamatan menjadi aspek penting dalam reka bentuk Proton e.MAS 7, yang dilengkapi dengan bateri AEGIS Short Blade, di mana ia sesuai dalam pelbagai keadaan, termasuk haba melampau, hakisan air masin, serta hentaman.

Bateri ini juga memberikan jarak WLTP yang tepat dan telah diuji dalam ujian langsung awal bulan lalu menggunakan varian Prime.

Tambahan, pemilik Proton e.MAS 7 kini boleh menikmati akses kepada lebih daripada 2,300 titik pengecasan awam di seluruh Malaysia, dengan lebih 90 peratus daripadanya dikendalikan oleh pelbagai penyedia seperti Gentari, JomCharge, dan chargEV.

Bukan itu sahaja, terdapat juga 75 titik pengecasan DC sehingga 120kW di beberapa pusat pengedar PROTON.

Pemilik juga boleh menggunakan aplikasi Proton e.MAS untuk mencari titik pengecasan dengan mudah, serta membuat pembayaran pengecasan secara terus.

Sejak dilancarkan, aplikasi ini telah mencatatkan lebih daripada 1,145 sesi pengecasan dalam tempoh tiga bulan.

Proton e.MAS 7 kini turut mula mendapat perhatian antarabangsa dengan debutnya di Nepal dan akan dilancarkan di Trinidad dan Tobago tidak lama lagi.

Tidak hanya berhenti di situ, Proton e.MAS 7 sedang merentasi ASEAN, memperluas jejaknya di pasaran antarabangsa dengan Malaysia sebagai pusat operasi utama.

Google ads
Back to top button