
KAWASAKI PERKENAL CORLEO, JENTERA BERKAKI EMPAT DENGAN ENJIN HIDROGEN
Kawasaki sememangnya antara nama besar dalam dunia dua roda dan terkenal dalam menghasilkan beberapa motosikal ikonik antaranya ZX-10R, ZX-6R dan banyak lagi.
Selain menghasilkan motosikal, Kawasaki menerusi KHI (Kawasaki Heavy Industries) juga menghasilkan kapal, kapal terbang, kereta api, turbin dan pelbagai lagi.

Terbaru, Kawasaki mencuri tumpuan apabila mendedahkan model konsep yang diberi nama Corleo. Untuk rekod, Corleo bukan sebuah motosikal sebaliknya sebuah robot yang menyerupai seekor haiwan berkaki empat.
Merujuk kepada kenyataan rasmi (dalam Bahasa Jepun) yang diterbitkan Kawasaki, Corleo ini dilabel sebagai sebuah jentera berkaki empat yang dipacu enjin hidrogen.

Menariknya, Kawasaki membayangkan Corleo sebagai model yang bakal menjadi kenyataan 25 tahun dari sekarang.
Menurut Kawasaki, robot konsep ini dikuasakan enjin hidrogen yang akan menghasilkan elektrik bagi menggerakan empat unit pacuan terletak pada setiap empat kaki Corleo. Kawasaki mendakwa kaki depan dan belakang boleh beroperasi secara sendiri.

Lebih mengagumkan, Corleo merupakan jentera yang boleh ditunggang seakan motosikal dengan penunggang akan mengawal segala gerakan. Senario ini seakan jalan cerita Zoids yang pernah disiarkan satu ketika dulu.