Buletin

TOYOTA GR 86 DIPERKENALKAN. ENJIN BOXER N/A 2.4L, 232HP, RWD, TEKNOLOGI EYESIGHT DRIVER ASSIST SUBARU

Selepas hampir lima bulan menunggu, Toyota akhirnya memperkenalkan kereta sports terbaharunya, GR 86. Model generasi kedua itu didedahkan kepada umum dalam bentuk prototaip JDM dengan spesifikasi model produksi dijangka sama sepenuhnya. 

Ini merupakan model GR ketiga Toyota selepas GR Supra dan GR Yaris. Sedia maklum bahawa jentera itu merupakan hasil kerjasama dengan Subaru. Sama seperti kembarnya Subaru BRZ, GR 86 merupakan sebuah model global.

Sekali pandang, kedua-dua model tersebut mempunyai rekaan yang tidak banyak berbeza. Perbezaan paling ketara hanya boleh dilihat pada gril Functional Matrix yang turut digunakan pada GR Yaris. Lampu utama pun sedikit lain daripada BRZ.

Harus tahu bahawa model baharu itu lebih cantik, maskular dan rendah. Ciri luaran lain yang dapat dilihat ialah komponen aerodinamik seperti lubang angin dan integrated spoiler di belakang untuk menawarkan pengendalian lebih mantap. 

Ruang dalaman GR 86 direka untuk memaksimumkan fokus pemandu. Jadi, sistem infohibur diposisi agar pemandu tidak perlu mengalihkan pandangan daripada jalan.

Paparan bersaiz 7 inci itu kini lebih moden, lengkap bersama animasi yang diinspirasikan daropada pergerakan omboh di dalam enjin Boxer. Butang-butang kawalan pendingin hawa dikekalkan untuk memberi sedikit gayaan old school.  

Jentera itu menggunakan enjin Boxer aspirasi biasa bersesaran 2.4 liter yang mampu menjana kuasa mencecah 232hp dan tork 250Nm. Kuasa itu membolehkan GR 86 memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.3 saat, 1.1 saat lebih pantas berbanding model terdahulu. 

Puncak kuasa dan tork boleh dicapai pada kitaran 2,000rpm dan 3,700rpm sebelum garis merah ditetapkan pada 7,400rpm. Menurut Toyota, maklum balas keseluruhan enjin telah ditingkatkan untuk menawarkan transisi dari rpm rendah ke tinggi dengan lebih lancar. 

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik atau manual enam kelajuan. 

Dengan berat sama seperti sebelumnya iaitu 1,270kg sahaja, Toyota mendakwa pasukan juruteranya telah bekerja keras demi memastikan GR 86 mampu menawarkan pengendalian lebih baik. Penggunaan material ringan seperti aluminium pada panel bumbung dan fender, pusat graviti dapat kekal rendah.

Digabungkan dengan peningkatan aspek ketegaran torsional, anda kini boleh memiliki sebuah jentera untuk pemandu yang sebenar. 

Dari segi keselamatan, varian automatik didatangkan dengan teknologi EyeSight Driver Assist daripada Subaru. Sistem itu merangkumi pelbagai ciri keselamatan pra-prlanggaran. 

Walaupun lambat diperkenalkan berbanding BRZ, GR 86 akan dijual di pasaran Jepun pada musim luruh tahun ini.

GALERI

Google ads
Back to top button